
GAZA: Kumpulan Palestin Hamas pada Selasa mengesahkan bahawa rundingan untuk fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan telah dimulakan, lapor Agensi Anadolu.
“Rundingan dan hubungan bagi fasa kedua telah bermula, dan tumpuan kami adalah kepada perlindungan, bantuan serta usaha membangunkan semula kehidupan rakyat kami di Gaza,” kata jurucakap kumpulan itu, Abdel Latif al-Qanoua dalam satu kenyataan.
Beliau menuduh Israel sengaja “melewatkan pelaksanaan protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata serta melengahkan pelaksanaannya.”
“Perlindungan dan bantuan kemanusiaan adalah keutamaan mendesak yang tidak boleh tertakluk kepada kelewatan oleh Israel,” tambahnya.
Qanoua menegaskan bahawa usaha untuk membangunkan semula hospital, membaiki jalan raya serta memulihkan telaga air adalah sangat penting untuk menghidupkan kembali Gaza selepas kemusnahan teruk akibat perang Israel.
Pada awal Selasa, Israel mengumumkan bahawa mereka akan menghantar pasukan perunding ke Qatar hujung minggu ini untuk membincangkan fasa kedua perjanjian Gaza.
Menurut kenyataan dari pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, pasukan tersebut akan membincangkan “butiran teknikal berkaitan dengan meneruskan pelaksanaan” perjanjian tersebut.
Pengumuman ini dibuat selepas pertemuan antara Netanyahu dengan utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff dan Penasihat Keselamatan Negara, Michael Waltz di Washington, di mana mereka membincangkan fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata Gaza.
Rundingan bagi fasa kedua perjanjian itu sepatutnya bermula pada Isnin tetapi Netanyahu memutuskan untuk tidak menghantar pasukan perundingnya ke Doha sehingga selepas pertemuannya dengan Trump pada Selasa.
Fasa enam minggu pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza pada 19 Januari lalu berjaya menghentikan perang Israel yang telah mengorbankan lebih 47,500 nyawa dan menyebabkan wilayah itu musnah teruk.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant pada November lalu atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang yang dilancarkan ke atas wilayah itu.