Global

Selepas Lebih 10 Tahun Menanti, GTA 6 Bakal Diumumkan Minggu Ini

Selepas lebih sedekad menanti, Rockstar dilapor bakal mengumumkan Grand Theft Auto (GTA) VI secara rasmi pada minggu ini. Pengumuman berkenaan juga akan disusuli dengan pendedahan trailer permainan berkenaan.

Menurut IGN Sea yang memetik laporan Bloomberg, setakat ini tidak jelas sejauh mana perincian akan didedahkan dalam pengumuman tersebut. Bagaimanapun, trailer permainan berkenaan dijangka akan didedahkan kepada umum pada Disember akan datang.

Trailer berkenaan berkemungkinan akan dilancarkan dalam acara The Game Award yang akan berlangsung pada 7 Disember. Namun begitu, tiada mana-mana pihak, terutamanya daripada pihak Rockstar mengesahkan perkara tersebut.

Selain itu, pelancaran trailer pada Disember ini juga dikatakan akan dibuat bersempena sambutan ulang tahun Rockstar yang ke-25.

GTA merupakan salah satu permainan video paling popular di seluruh dunia dan peminat global sudah ternanti-nanti GTA VI sejak sekian lama.

Malah, sebahagian peminat GTA begitu teruja sehingga kemas kini permainan Red Dead Online dianggap sebagai petanda permainan berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Rockstar sudah pun mengesahkan bahawa GTA sedang berada dalam fasa pembangunan, namun sejak itu hampir tiada langsung sebarang maklumat didedahkan.

Beberapa sedutan rakaman permainan tersebut turut bocor di media sosial dalam tempoh berkenaan. Rockstar juga tidak berdalih dan mengesahkan rakaman yang bocor adalah asli.

Bagaimanapun, Rockstar meyakinkan para peminat GTA bahawa kebocoran berkenaan tidak akan mengganggu proses pembangunan permainan tersebut.

Justeru, dengan pengumuman pada minggu ini, GTA VI dijangka akan menemui para peminat seawal tahun hadapan.

Setakat ini, tidak banyak maklumat berkenaan GTA VI yang boleh ditemui, namun IGN Sea melaporkan ia mungkin akan melibatkan kemunculan karakter wanita Latin.

Selain itu, GTA VI juga dijangka akan menjadikan bandar fiksyenal Miami sebagai permulaan sebelum bandar-bandar lain akan ditambah secara berperingkat.

Dalam pada itu, pemerhati industri permainan video berkata, pelancaran GTA VI bakal menjadi salah satu acara pelancaran dalam industri hiburan paling signifikan dekad ini.

GTA V sebelum ini berjaya terjual sebanyak 185 juta salinan di seluruh dunia. Ia merupakan permainan kedua paling popular dalam sejarah dibelakang Minecraft.

Sumber: IGN Sea

Related posts
Global

Malaysia Tegas Tolak Pemindahan Paksa Rakyat Palestin

Malaysia secara tegas menentang sebarang cadangan pemindahan paksa rakyat Palestin dari tanah air…
Read more
Global

Rundingan Fasa Kedua Gencatan Senjata Gaza Dimulakan, Kata Hamas

Kumpulan Palestin Hamas pada Selasa mengesahkan bahawa rundingan bagi fasa kedua perjanjian gencatan…
Read more
Global

Elon Musk, Netanyahu Bertemu di Washington: Agenda Tersembunyi?

Netanyahu (kanan) dan anaknya, Yair (kiri) bergambar kenangan dengan Musk semasa mengadakan…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *