
Situasi yang tidak dijangka telah menimpa seorang lelaki berusia 25 tahun di mana sebanyak 60unit iPhone 15 Pro Max telah dihantarkan ke rumahnya secara tidak sengaja oleh pihak Apple, diibaratkan seperti durian runtuh.
Menurut @legends_gio di TikTok, dia hanya menempah empat unit iPhone 15 Pro Max termasuk seunit model 1TB untuk dirinya manakala tiga yang lain ialah varian 256GB untuk pasukan media.
“Saya menempah empat iPhone 15 Pro Max dari Apple pada September lalu.
“Saya terima mesej iPhone yang dipesan akan sampai pada hari ini dan saya telah menerima seunit iPhone 15 Pro Max 1TB tetapi saya tidak dapat lagi tiga iPhone 15 Pro Max 256GB yang ditempah,” katanya.
Jelasnya, dia telah menerima kotak kecil yang berisi seunit iPhone 15 Pro Max 1TB namun tidak menyangka bungkusan kecil itu datang bersama tiga lagi kotak yang besar.
Persoalan mula timbul berkaitan dengan tiga bungkusan besar itu dan dia mula membawa salah satu daripadanya ke dalam rumah.
Apabila kotak besar itu dibuka dia mendapati bahawa ia mengandungi sebanyak 20unit iPhone 15 Pro Max 256GB di dalamnya.
“Saya tidak menempah dengan banyak barangan daripada Apple. Tetapi apabila saya buka kotak, perkara yang tidak dijangka berlaku di mana ada banyak iPhone 15 Pro Max,” ujarnya.
Jumlah keseluruhan iPhone 15 Pro Max yang diterima oleh pemuda tersebut ialah 60unit, yang diletakkan dalam tiga kotak besar.
Perkara itu membuatkan dia terkejut sekali gus tidak menyangka ia terjadi kepada dirinya dan pemuda itu sempat membuat dakwaan bahawa telefon bimbit yang diterima adalah palsu.
Selepas menghubungi Apple, mereka mula mencari jalan penyelesaian dan lelaki itu mengatakan dia akan memulangkan semula bungkusan-bungkusan tersebut kepada pihak berkenaan.
Katanya, dia tidak akan memberikan peranti tersebut kepada orang yang tidak dikenali, melakukan giveaway atau menjualnya kerana iPhone berkenaan akan dipulangkan kepada Apple.
Seperti yang dijanjikan, lelaki itu pergi ke salah satu premis Apple dan memulangkan semua 60unit iPhone 15 Pro Max kepada pihak tersebut.
Atas salah faham yang berlaku, Apple telah memberikan empat unit iPhone 15 Pro Max secara percuma kepadanya sebagai ganti pemulangan 60unit iPhone tersebut.