
Seorang lelaki di Jepun dalam lingkungan umur 50-an telah menanam pokok pisang di tengah-tengah jalan besar di bandar Kurume. Namun dia yang dari wilayah Fukuoka itu diarahkan untuk mencabut pokok-pokok pisang tersebut yang ditanam secara haram.
Dia telah menanam dan menjaga pokok itu selama dua tahun dan tiada siapa yang tahu mengapa lelaki itu mahu menanam pokok pisang di atas tanah yang dianggap harta benda awam. Pokok itu telah membesar dan menghalang pandangan penunggang motosikal.
Pihak berkuasa berjaya menjejaki lelaki itu dengan mudah. Ini kerana, dia telah menjaga pokok-pokok pisangnya itu selama dua tahun dan menyiramnya sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Dia telah diarahkan untuk memindahkan pokok pisang itu atau dia akan dikenakan hukuman penjara selama setahun serta denda 500,000 yen (RM15, 623)
“Saya rasa sunyi. Saya sunyi tanpa pokok-pokok pisang saya,” kata lelaki itu kepada wartawan selepas dia memindahkan pokok pisangnya itu.
Pokok pisang Kurume telah mendapat perhatian daripada seluruh negara selama beberapa minggu. Pada hari di mana dia harus mengeluarkan pokok-pokok pisang itu dari tanah di tengah-tengah jalan, semua saluran berita telah berada di situ.
Mereka telah menemu ramah lelaki yang menanam pokok itu serta merakam lelaki itu yang cuba untuk makan buah pisang yang masih belum masak lagi. Ia terlalu muda untuk dimakan, tetapi lelaki itu tetap memakannya.
Yang menimbulkan tanda tanya adalah bagaimana pihak polis tidak dapat mengesan tindakannya itu sedangkan dia telah menanam pokok itu dan menjaganya setiap hari.
Pokok-pokok pisang itu juga telah mendapat ‘rumah’ baharu. Seorang lelaki berumur 80 tahun telah mengambil dua daripadanya. Lelaki itu berjanji untuk menjaga pokok pisang itu dengan baik untuknya.
Manakala lelaki yang telah menanam pokok pisang di Kurume itu telah menghadiahkan pokok yang terakhir sebagai hadiah hari lahir untuk rakannya.
Sumber: Oddity Central