
CyberSecurity Malaysia pada hari ini mengeluarkan satu amaran berkenaan penipuan yang melibatkan penyamaran melalui akaun WhatsApp.
Amaran berkenaan dikeluarkan CyberSecurity Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook pada pukul 6.48 petang tadi.
Menurut perkongsian tersebut, modus operandi penipu adalah dengan menyamar sebagai individu yang dikenali mangsa.
“Penipu akan menghantar satu pautan melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa dan meminta mangsa untuk klik pada pautan tersebut,” kata hantaran tersebut.
Selepas menekan pautan berkenaan, mangsa kemudian berkemungkinan akan kehilangan akses kepada akaun Whatsapp sendiri.
“Penipu akan mengambil alih akaun WhatsApp yang diceroboh dan menggunakan identiti mangsa untuk melakukan penipuan.
“Penipu akan menyamar sebagai mangsa dengan menghantar mesej kepada kenalan-kenalan mangsa melalui akaun WhatsApp tersebut.
Menurut CyberSecurity lagi, penipu juga akan menggunakan teknik melibatkan kandungan teks yang mendakwa ‘mangsa’ berada dalam situasi bahaya dan memerlukan bantuan atau pinjaman kewangan.
Ia bagi membantu ‘mangsa’ keluar dari krisis atau kes kecemasan tersebut. Penipu kemudian berjanji akan membuat pembayaran semula di kemudian hari.
Mereka yang terpedaya akan menjadi mangsa
Tambahnya, kenalan mangsa yang mempercayai penipuan tersebut akhirnya akan terjerat dan akan mengalami kerugian wang.
“Dalam situasi ini, kenalan mangsa akan terpedaya dan mempercayai mesej tersebut dihantar oleh rakan mereka yang memerlukan wang. Yang mana akhirnya kenalan mangsa mengalami kerugian wang,” terang CyberSecurity berkenaan modus operandi penipu tersebut.
Justeru, CyberSecurity Malaysia menasihati orang ramai agar tidak mengetik sebarang pautan yang diterima melalui aplikasi WhatsApp tersebut.
Ia bagi memastikan pengguna terselamat dan dapat terhindar daripada menjadi mangsa penipuan yang sedang berleluasa.
“Jangan membuat sebarang pemindahan wang sebelum mendapat kepastian dan pengesahan. Sekiranya anda tidak pasti sama ada ia adalah dari sumber yang sahih, maka dapatkan maklumat untuk pengesahan terlebih dahulu.”
Orang ramai juga boleh lawati laman CyberSecurity Malaysia untuk mendapatkan sumber maklumat yang sahih berkenaan penipuan tersebut.