Sukan

Lee Zii Jia Kukuhkan Prestasi, Menaiki Tangga Ranking BWF Selepas Kejayaan di Terbuka Thailand dan Malaysia Masters

Zii Jia berada di tempat kesembilan dalam senarai ranking yang dikeluarkan oleh BWF pada hari Selasa.

Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia menaiki satu anak tangga dalam senarai ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari Selasa. Prestasinya ini susulan selepas dia meraih kejuaraan Terbuka Thailand dua minggu lalu dan menjadi naib juara Malaysia Masters di Kuala Lumpur pada Ahad yang lepas.

Jika Zii Jia berjaya mengalahkan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia dalam pusingan pertama Terbuka Singapura pada hari Rabu, dia berpotensi melompat ke tempat ketujuh melepasi Kunlavut Vitidsarn di tempat kelapan. Ia susulan pemain Thailand itu tidak beraksi pada Terbuka Singapura, manakala Ginting ketika ini menghuni ranking ketujuh dunia.

Penganalisis sukan, Zakaria Rahim menyatakan bahawa Zii Jia perlu mencapai sekurang-kurangnya pusingan kedua di Singapura untuk mengekalkan kedudukan di atas dua pemain tersebut.

“Terbuka Singapura menawarkan mata ranking sebanyak 4,320 jika layak ke pusingan kedua. Zii Jia ketika ini mengumpul 75,486 mata, Kunlavut 76,808 dan Ginting 79,585.

“Andai layak ke pusingan kedua, Zii Jia akan mengumpul 80,166 mata. Ia cukup untuk mengatasi kedua-dua pemain itu ke ranking ketujuh dunia,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa jika berjaya mencapai final Terbuka Singapura, Zii Jia berpotensi mengatasi Li She Feng dari China dan Kodai Naroaka dari Jepun untuk mencapai ranking kelima dunia sebelum menyertai Terbuka Indonesia yang bermula pada 4 Jun.

“Kedudukan ranking ini sangat penting untuk undian menentukan kumpulan pada Sukan Olimpik Paris 2024 nanti,” katanya.

Pada Ahad, Zii Jia mengalami kekalahan daripada pemain Denmark, Viktor Axelsen dengan skor 21-6, 20-22, 21-13 dalam pertarungan akhir Malaysia Masters di Axiata Arena.

Related posts
Sukan

Terengganu FC Gagal Layak Ke Separuh Akhir ACC 2024/25 Selepas Kalah Kepada BG Pathum United

Safawi Rasid (kanan) meledak gol pada minit ke-93 dan menjaringkan gol kedua peribadinya selepas…
Read more
Sukan

Kemalangan di SIC: Jorge Martin Alami Patah Tangan dan Kaki

Jorge Martin terjatuh akibat hilang kawalan jentera semasa Ujian Pramusim MotoGP 2025 di Litar…
Read more
Sukan

Rashford Sertai Aston Villa Secara Pinjaman Hingga Akhir Musim

Rashford yang digugurkan daripada skuad United pada Disember pernah menjelaskan bahawa mahukan…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *