
Setelah empat hari tayangan di pawagam bermula Khamis lalu, filem Memoir Seorang Guru mendapat sambutan yang sangat baik.
Penerbitnya, Datuk Arisz Ab. Rahman, berkata setakat ini, rata-rata penonton memberikan maklum balas positif.
“Saya bersyukur kerana filem yang diadaptasi daripada novel karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah ini mendapat tempat di hati penonton Malaysia.
“Kalau melihat kepada komen-komen penonton di media sosial, ramai yang memuji dan memberikan rating yang tinggi untuk filem ini,” ujarnya.
Filem arahan Kyoll Hamzah ini mengisahkan tentang Cikgu Sunan yang ditugaskan ke sebuah sekolah di pedalaman dan menjadi guru kelas paling corot.
Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor yang memegang watak Cikgu Sunan, serta Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi.
Sementara itu, Arisz berkata bahawa walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa filem lain, Memoir Seorang Guru tetap menjadi pilihan utama penonton.
Oleh itu, beliau mengajak semua yang belum menonton untuk segera ke pawagam berdekatan dan menonton beramai-ramai.
Beliau menjelaskan bahawa rakyat Malaysia seharusnya tidak melewatkan peluang untuk menonton Memoir Seorang Guru kerana ia merupakan sebuah kisah yang sangat relevan dan menyentuh hati.
“Kita semua pernah menjadi anak murid, jadi filem ini memang sangat dekat dengan diri kita. Saya percaya, filem ini dapat mengimbau semula ketika zaman persekolahan dulu.
“Pesanan saya jangan lupa sediakan tisu sebelum menonton kerana ada babak-babak yang menyentuh hati dan perasaan sehingga mengalirkan air mata,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Arisz merayu kepada penonton untuk mengunjungi pawagam sebagai tindakan menunjukkan sikap patrioritik kepada karya tempatan yang berkualiti, terutama ketika filem ini berhadapan dengan persaingan daripada filem-filem besar luar negara.
“Jika kita boleh tengok filem Thailand dan Indonesia kenapa kita tak boleh sokong filem Malaysia yang mendapat review positif daripada penonton ” ujarnya yang kini berada di tanah suci bagi menunaikan fardhu haji.
Filem Memoir Seorang Guru, yang mula ditayangkan di pawagam pada 30 Mei lepas telah mengumpulkan kutipan sebanyak RM350,000 dalam tempoh tiga hari tayangan.