
Kira-kira dua minggu selepas dimasukkan ke hospital kerana strok haba, Shah Rukh Khan (SRK) sekali lagi menggemparkan warganet dengan penampilan beliau yang berbeza.
Beberapa rakaman video dan gambar dari majlis pra-perkahwinan anak bilionair India, Anant Ambani dan Radhika Merchant di Itali menjadi viral di media sosial, memberi tanda tanya apabila kebanyakan peminat keliru dengan penampilan bintang Bollywood itu.
“Adakah itu Johnny Depp?” soal salah seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi menggelarnya sebagai “Johnny Depp versi Pakistan” yang merujuk kepada pelakon terkenal Amerika yang dikenali dengan watak lanun, Jack Sparrow dalam siri filem Pirates of the Caribbean.
Superstar itu kembali ke Mumbai pada Isnin selepas menghadiri acara mewah itu bersama keluarganya.
Beliau juga dijadualkan untuk memulakan penggambaran filem berjudul King selepas kali terakhir berlakon dalam Dunki arahan Rajkumar Hirani bersama pelakon Taapsee Pannu, Vicky Kaushal dan Boman Irani.