
Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, peserta muay thai terkemuka negara menegaskan akan bangkit dengan lebih kuat selepas mengalami kekalahan kepada juara lima kali WMF Muay Thai dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertandingan ONE 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Muhammad Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo, menyatakan bahawa kekalahan itu hanyalah sebahagian daripada cabaran kecil dalam perjalanan panjangnya yang perlu dihadapi.
“Jangan nilai saya atas kemenangan saya, nilai saya bagaimana saya kembali dari kekalahan saya.
“Terima kasih atas sokongan semua, ini hanyalah satu halangan kecil dalam perjalanan dan saya akan bangkit. Terima kasih semua,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagramnya pada Sabtu.
Walaupun kalah, pada usia 17 tahun Johan berjaya menunjukkan aksi yang bersemangat dan menghiburkan sepanjang pertarungan tiga pusingan dalam kelas Flyweight tersebut.
Tran Duy, yang berusia 35 tahun menggunakan pengalaman beliau dalam pertarungan untuk mendapatkan mata demi mata sepanjang tiga pusingan sebelum diumumkan sebagai pemenang dengan kiraan mata.
Kekalahan itu menyaksikan rekod tanpa kalah Johan dalam enam pertarungan lebur selain turut terlepas peluang meraih bonus prestasi AS$50,000 (RM235,332.68).