Sukan

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia: Kejutan ‘False Start’ Muhammad Azeem Fahmi di Separuh Akhir 200 Meter

Muhammad Azeem Fahmi

Ketika acara separuh akhir perlumbaan 200 meter lelaki Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia terdapat kejutan apabila penyertaan pelari negara, Muhammad Azeem Fahmi dibatalkan disebabkan oleh ‘false start’ atau salah mula.

Perlumbaan separuh akhir di Stadium Darul Makmur di sini sepatutnya bermula pada pukul 6 petang tetapi ditangguhkan hingga pukul 9 malam disebabkan oleh hujan.

Acara akhir yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam kemudian menyaksikan atlet ATM Jonathan Nyepa meraih tempat pertama dengan catatan masa 21.28 saat, diikuti oleh atlet Australia Jack Boulton (21.33 saat) dan atlet Pahang Muhammad Efrain Feerzan Khan di tempat ketiga (21.55 saat).

Muhammad Azeem ketika ditemui menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku di luar kawalannya.

“Apa yang berlaku ini atas kesalahan saya, saya sendiri tak sabar, tak ada rezeki saya untuk acara ini dan kini saya fokus untuk acara 100 meter,” kata atlet kelahiran Perak itu.

Pelari muda berusia 20 tahun itu merupakan pemegang rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan catatan terbaiknya musim ini adalah 10.24 saat ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lepas.

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris yang memerlukannya mencatat 10 saat untuk layak secara merit.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 yang membuka tirainya hari ini berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar termasuk Australia dan Rusia.

Sumber: BERNAMA

Related posts
Sukan

Terengganu FC Gagal Layak Ke Separuh Akhir ACC 2024/25 Selepas Kalah Kepada BG Pathum United

Safawi Rasid (kanan) meledak gol pada minit ke-93 dan menjaringkan gol kedua peribadinya selepas…
Read more
Sukan

Kemalangan di SIC: Jorge Martin Alami Patah Tangan dan Kaki

Jorge Martin terjatuh akibat hilang kawalan jentera semasa Ujian Pramusim MotoGP 2025 di Litar…
Read more
Sukan

Rashford Sertai Aston Villa Secara Pinjaman Hingga Akhir Musim

Rashford yang digugurkan daripada skuad United pada Disember pernah menjelaskan bahawa mahukan…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *