
Datuk Mohd Kazim Elias merupakan seorang pendakwah bebas dan kini menjadi pelakon, berumur 52 tahun bersedia untuk menerima sebarang tawaran lakonan dengan syarat-syarat yang ditetapkan olehnya.
Beliau juga berminat untuk melakonkan watak yang berbeza daripada imejnya sebagai seorang ustaz.
“Lepas ini kalau orang ajak saya berlakon boleh, tapi tidak mahu menjadi ustaz sahaja, saya mahu juga watak lain. Cuma, saya ada prinsip, tidak boleh pegang-pegang (bersentuhan) dan jaga waktu solat.
“Kalau skrip cantik (bertepatan), watak jahat sekalipun saya boleh bawak, saya mahu buktikan saya bukan setakat boleh menjadi ustaz sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Beliau yang muncul sebagai watak utama dalam filem berjudul Zim Zim Ala Kazim terbitan Mawi World Entertainment juga bersedia menerima sebarang pandangan atau kecaman netizen yang kurang senang melihat pembabitannya dalam dunia seni.
“Saya terlibat dalam bidang dakwah sudah lebih 34 tahun, pelbagai cabaran saya lalui termasuklah orang yang tidak suka. Begitu juga dalam bidang ini, pasti akan ada yang mengecam. Mungkin lima tahun akan datang baru orang akan nampak alasan saya buat begini,” katanya.
Mohd Kazim juga menggalakkan golongan agamawan untuk terlibat dalam bidang lakonan dengan harapan industri filem dapat menjadi platform terbaik untuk mendidik rakyat bersama-sama beliau.
“Kalau asatizah turut serta, boleh saling menasihati (kru dan pelakon), semua akan seronok berlakon. Kita jadikan industri filem, drama dan sebagainya ini seronok serta selesa untuk ditonton (semua lapisan masyarakat), tanggapan masyarakat juga boleh berubah.
“Ini yang saya cuba buat, kalau masyarakat beri sokongan dan kepercayaan, saya nak ajak kawan-kawan saya di luar sana, jom kita ikut serta,” katanya yang turut mencadangkan dibuat surau bergerak bagi memudahkan pelakon atau kru menunaikan solat di lokasi penggambaran.
Mengulas mengenai pembabitannya dalam filem Zim Zim Ala Kazim, Mohd Kazim berkata hampir 80 peratus cerita dalam filem berkenaan memaparkan kisah benar mengenai dirinya yang berdepan dengan penyakit misteri.
“Mungkin ia tidak mencapai kisah sebenar namun masih penuh dengan pengajaran berkaitan amalan sihir dan perbuatan jahat. Kalau nak kira pada cerita original mungkin boleh jadi histeria, cuma kita ringankan tapi kejadian beruk jadian (babak di dalam filem) itu betul… Janji, ia capai matlamat jangan buat jahat,” katanya.
Selain Mohd Kazim dan Mawi, filem komedi seram arahan Mawi menampilkan pelakon hebat seperti Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar. Filem ini kini sedang dipertontonkan di pawagam di seluruh negara.
Filem Zim Zim Ala Kazim mengisahkan tentang sekumpulan pencari hantu yang aktif dalam aktiviti paranormal. Dalam satu misi pencarian mereka, kumpulan ini menemui sesuatu yang luar biasa.
Mereka menemui Ustaz Kazim dalam keadaan bahaya dan memutuskan untuk menyelamatkannya.