
Kedah Darul Aman (KDA) FC diberi dorongan yang besar apabila menerima sumbangan RM100,000 daripada rakan rasmi baru mereka, HYL Marketing Sdn Bhd (Xpress Point) untuk musim 2024-2025.
Sang Kenari yang baru sahaja meraih kejayaan mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Bukit Tambun FC 5-0 di Stadium Darul Aman sangat bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh rakan rasmi baru dari industri serbaneka tersebut.
KDA FC berkata, kerjasama tersebut melibatkan sumbangan wang tunai dan barangan melalui penganjuran aktiviti bersama pasukan dan penyokong.
“Projek usahasama serta diskaun produk juga buat ahli kepak kenari dan pas bermusim di semua cawangan Xpress Point. Tajaan keseluruhan kerjasama ini bernilai RM100,000.
“Xpress Point merupakan kedai serbaneka yang beroperasi di stesen minyak dengan menawarkan jualan produk harian dan pelbagai barangan keperluan orang ramai,” katanya yang dipetik melalui platform media sosial rasminya.
KDA FC berkata, syarikat itu menyokong usaha penjenamaan yang sedang dilakukan oleh Sang Kenari dan ini adalah tahun pertama Xpress Point bekerjasama sebagai rakan rasmi.
Menurutnya, Pengarah HYL Marketing Sdn. Bhd.( Xpress Point), Saw Mei Yee dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin telah menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak.
“Terima kasih Xpress Point, ayuh kita sahut cabaran bersama.
“Xpress Point, rakan rasmi kedai serbaneka KDA FC Musim 2024-2025,” ujarnya lagi.