
Keinginan peminat untuk menonton persembahan deejay dan bintang Electronic Dance Music (EDM), Alan Walker di ‘Walkerworld Tour’ kelihatan tidak kesampaian.
Melalui pengumuman yang dibuat melalui akaun Instagramnya, bintang berusia 26 tahun itu mengumumkan perlunya menunda konsert yang sepatutnya berlangsung esok (22 Jun) di Surf Beach, Sunway Lagoon atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Beberapa minggu kebelakangan ini, saya bersama pasukan telah bekerja keras menyusun persembahan Walkerworld terbesar di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
“Bagaimanapun dengan rasa sangat sedih, saya terpaksa maklumkan bahawa disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangka dan di luar kuasa saya serta pasukan saya, kami terpaksa menangguhkan pertunjukan Walkerworld di Malaysia sehingga satu tarikh lain pada tahun ini.
“Saya sangat kesal atas pengumuman saat akhir ini dan mengecewakan anda semua,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Malah selebriti kelahiran Norway itu meminta mana-mana peminat yang mahu mendapatkan semula tiket mereka untuk menghubungi pihak penganjur.
“Sekiranya ada daripada anda yang tidak sanggup dan mampu menunggu sehingga kami kembali, anda boleh meminta bayaran balik untuk tiket anda daripada penganjur tempatan, Megatix.
“Anda boleh mengemukakan permintaan bayaran balik anda kepada [email protected] sebelum 5 petang, 20 Julai 2024.
“Sekali lagi, kami memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan persembahan ini seperti yang dirancang, tetapi saya benar-benar berharap dapat berjumpa anda semua tidak lama lagi,” ujarnya.
Para peminat yang telah membeli tiket meluahkan kekecewaan kerana ada yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur daripada Australia, Jepun dan tidak kurang juga yang sudah berada berdekatan lokasi konsert.