
Bagi menjayakan watak lelaki autisme dengan cemerlang, aktor Hisyam Hamid telah melakukan kajian menyeluruh sebelum penggambaran serta bertemu dengan individu yang menghadapi masalah yang sama.
Hisyam mengakui bahawa memegang watak Azizi adalah satu cabaran besar dan dia turut bimbang akan menerima kritikan jika tidak dapat melakonkan watak seorang lelaki autisme dengan betul.
“Saya agak gementar ketika diberi watak Azizi, jadi saya buat kajian dengan tonton filem luar negara dan pergi ke NASOM (Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia) selain berjumpa dengan lelaki yang wataknya sama dengan Azizi.
“Lelaki itu bernama Syafiq berusia 29 tahun, bekerja dalam bidang IT dan seorang ‘high functioning autism’ sama seperti watak Azizi. Dia seorang yang sangat bergantung kepada nasihat ibunya.
“Saya perhatikan cara dia bercakap, berjalan dan gerak tangannya, hasilnya adalah apa yang penonton lihat dalam drama Bunga Salju,” ujar Hisyam.
Hisyam turut menyatakan bahawa dia bersyukur watak Azizi lakonannya diterima ramai, malah rata-rata penonton mengakui lakonannya sama seperti orang autisme.
“Malah ada yang komen mahukan lelaki seperti Azizi kerana jujur (ketawa). Apapun saya gembira naskhah ini selain hiburan turut memberi kesedaran kerana penonton bahawa ada orang autisme yang high functioning dan ada kalanya mereka lebih bijak daripada orang normal,” ujar Hisyam.
Naskhah Bunga Salju yang ditayangkan sebanyak 40 episod, mengisahkan Qaisara terpaksa berkahwin dengan Azizi, seorang lelaki austistik bagi memenuhi keperluan ibunya dan teman lelaki Farouk demi mendapatkan harta Azizi.
Drama terbitan MIG ini turut dibintangi Amyra Rosli, Hariz Hamdan, Zarina Zainoordin, Hasnul Rahmat, Syad Talib, Zul Huzaimy dan Arabella Ellen.
Episod baharu Bunga Salju ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104).
Drama ini juga boleh ditonton menerusi ON Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go serta Sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel.