
Dr Jezamine Lim, isteri kepada pelawak terkenal Harith Iskander telah mengesahkan bahawa dia telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada bulan Jun yang lalu.
“Betul, saya telah memfailkan cerai. Saya tidak ingat tarikh sebenar permohonan dibuat tetapi lebih kurang sebulan lalu,” kata Dr Jezamine.
Dia bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai punca tindakannya itu.
“No comment for now. After our court hearing baru comment (Tiada komen buat masa ini. Mungkin selepas perbicaraan saya akan ceritakan),” katanya ringkas kepada Astro Awani pada Selasa.
Difahamkan bahawa kes perceraian Dr Jezamine dan Harith Iskander dijangka akan disebut di mahkamah pada bulan ini.
Sebelum ini, Dr Jezamine juga dilaporkan memuat naik gambar bersama peguam Datuk Akberdien Abdul Kadir yang kerap mewakili artis dalam kes-kes perceraian.
Sementara itu, usaha media untuk mendapatkan pengesahan dari Harith Iskander, 58 tahun berhubung perkara itu gagal apabila beliau memilih untuk tidak memberikan sebarang komen.
Harith Iskander dan Dr Jezamine telah berkahwin pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga orang anak, iaitu Zander Xayne, 14 tahun, Alessandra Jayne, 11 tahun dan Zydane Zayne yang kini berusia sembilan tahun.