
Pelawak dan bekas penyampai radio, Shuk Sahar menerima dengan redha ‘hukuman’ yang diterima akibat kontroversi rumah tangganya sejak 2021.
Shuk mengakui bahawa selama lebih dari dua tahun ini, beliau tidak menerima sebarang tawaran untuk berlakon atau menjadi pengacara tetapi beliau tidak merasa terkilan kerana menyedari bahawa ini adalah hasil daripada kesilapan sendiri.
“Sebelum ini ada masuk program Lawak 90 Saat terbitan Astro. Selain itu ada tawaran lain, tetapi kebanyakan diam begitu sahaja, jadi saya fahamlah…
“Ada juga yang cadang saya masuk pertandingan program realiti, tetapi ia bukan mudah. Sukar untuk saya buat keputusan,” katanya.
Tambah pemilik nama penuh Mohammad Shukri Mohamed Sahar itu, dia sendiri tidak menerima sebarang surat rasmi digam untuk satu tempoh tertentu dan hanya ‘faham-faham sendiri’.
“Saya tak ada terima sebarang surat rasmi dan bila dalam industri itulah salah satu cabaran yang perlu kita hadap.”
“Dalam masa sama, saya faham itu adalah akibat yang perlu diterima atas kesilapan yang kita buat. Kita juga kena sentiasa bersedia sekiranya orang tidak perlukan kita lagi dan cari jalan lain,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dol’s Podcast di The Curve, Mutiara Damansara pada Selasa.
Berkongsi lanjut detiknya memulakan hidup baru, Shuk, 38 memilih untuk pulang ke kampung dan memulakan perniagaan berasaskan produk penjagaan kulit wajah secara dalam talian.