
Penyanyi Cliff Umar telah didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret pada hari Rabu atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis ‘heroin dan monoacetylymorphines’ serta menggunakan dadah THT sendiri pada penghujung Mei lalu.
Cliff Umar yang nama sebenarnya Abdullah Umar Joseph, 42 juga diperintahkan menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Penyanyi tersebut di mahkamah dengan mengenakan kemeja biru gelap, dikenakan hukuman selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 13 bulan, jika gagal membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, vokalis Projek Pistol itu didakwa ada dalam milikannya, dadah jenis ‘heroin dan monoacetylymorphines’, seberat 0.9 gram, di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.
Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama. Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa sengaja menggunakan dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) di tandas Balai Polis USJ8, Subang Jaya, pada jam 6 petang pada hari yang sama.
Pertuduhan ini mengikut Seksyen 15(1)(a) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya serta pengawasan selama antara dua hingga tiga tahun.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pihak polis membuat rondaan, mereka mendapati penyanyi lagu ‘Wanita Seluruh Dunia’ menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan. Namun, artis tersebut melarikan diri dan terjatuh ke bahu jalan, mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan menyerahkan dadah tersebut semasa pemeriksaan oleh anggota polis.
Semasa prosiding, peguam Sallehuddin Salam yang mewakili penyanyi rock itu, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar minimum kerana menghadapi masalah kewangan.
“Dia yang bekerja sebagai pemuzik, tidak mempunyai pendapatan tetap malah tiada sebarang tawaran untuk membuat persembahan diterima, ketika ini.
“Berbekalkan simpanan yang ada, dia perlu menyara isteri dan empat anak iaitu paling bongsu berusia tujuh tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira kekerapan kes serta kepentingan awam.
Pada 30 Mei lalu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki jenis heroin namun mahkamah menetapkan 31 Julai untuk sebutan laporan kimia sebelum menjatuhi hukuman.