
Kehidupan “Princess of Pop,” Britney Spears akan diadaptasi menjadi filem oleh Universal Pictures setelah memperoleh hak untuk mengubah buku memoirnya menjadi filem.
Buku memoirnya yang bertajuk The Woman in Me diterbitkan pada 24 Oktober 2023 telah menjadi salah satu buku autobiografi terlaris dengan lebih daripada tiga juta salinan terjual di seluruh dunia.
Laporan menyatakan bahawa filem tersebut akan diarahkan oleh Jon M. Chu, pengarah Crazy Rich Asians manakala penerbitnya adalah Marc Platt yang terkenal dengan penerbitan filem seperti La La Land dan Chicago.
Meninjau ke laman X, penyanyi yang popular dengan lagu Sometimes itu turut berkongsi kepada pengikutnya mengenai hal ini.
“Teruja untuk berkongsi dengan peminat saya bahawa saya sedang mengusahakan projek rahsia dengan Marc Platt. Dia sentiasa hasilkan filem kegemaran saya…. Nantikan,” kongsi Britney pada pagi Jumaat.
The Woman in Me adalah buku memoir setebal 275 halaman yang ditulis sendiri oleh Britney Spears. Sejak diterbitkan, buku ini yang menduduki carta pertama New York Times Best Selling telah diterjemahkan ke dalam 26 bahasa.