
Penyanyi terkenal Britain, Adele telah mengesahkan pertunangannya dengan ejen sukan Amerika, Rich Paul semasa persembahan di Jerman.
Penyanyi berusia 36 tahun itu sebelum ini pernah mendedahkan hubungan dengan pengasas Klutch Sports Group yang mewakili bintang-bintang bola keranjang terkenal seperti LeBron James, Anthony Davis dan John Wall.
Dalam sebuah video yang viral di media sosial semasa konsertnya di Munich, Adele dilihat menyedari seseorang memegang papan tanda bertulis “Will you marry me?” (Adakah awak akan berkahwin dengan saya?).
“Saya tak boleh kahwin dengan awak kerana saya sudah nak berkahwin, tapi saya hargainya, terima kasih,” katanya.
Adele turut mempamerkan apa yang kelihatan seperti cincin pertunangan kepada penonton.
Pada April 2019, Adele mengumumkan perpisahan dengan bekas suaminya Simon Konecki yang merupakan ketua sebuah badan amal.
Penyanyi terkenal dengan lagu “Someone Like You” itu kini mengadakan 10 konsert di Jerman bulan ini di sebuah arena yang boleh memuatkan 80,000 orang setiap malam.
Pemenang 16 anugerah Grammy ini mengumumkan pada bulan Julai bahawa beliau akan mengambil “berehat panjang” dari dunia muzik selepas siri konsertnya yang akan datang.