
Keistimewaan figura bernama M Nasir tidak dapat dinafikan apabila konsert Dato’ M N45IR CIPTA yang diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil pada Sabtu lalu berjaya memukau lebih 8,000 penonton.
Walaupun baru sahaja mengadakan konsert berskala besar tahun lalu, maestro muzik berusia 66 tahun ini tetap menunjukkan prestasi cemerlang dengan persembahan yang menghiburkan.
Jelas sekali, pengalaman selama 45 tahun dalam mencipta karya yang hebat, luar biasa dan sentiasa segar telah meletakkan figura ini pada tahap yang berbeza.
Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu menyaksikan M Nasir mempersembahkan karya-karya hebat seperti Mentera Semerah Padi, Hati Emas, Seroja, Bercanda Di Pasiran Pantai, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Srikandi Cintaku, Ada, Phoenix Bangkit, Senja Nan Merah Tujuh Nafas Lagi dan banyak lagi.
Selain membawakan lagu-lagu dari album solonya, suami kepada Datin Marlia Musa ini juga menghiburkan penonton dengan sentuhan magis yang pernah beliau berikan kepada kumpulan rock seperti Search, Alleycats, Awie, Seha, Bumiputera Rockers (BPR), Kristal, Def Gab-C dan Rahim Maarof.
Lebih menghangatkan suasana apabila beliau berkesempatan menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir dan menyambut ulang tahun kelahiran ke-77 serta memberikan pulut kuning sebagai tanda kenangan.
Menurut penganjurnya, ICON Entertainment, nama CIPTA dipilih untuk konsert ini kerana ia mencerminkan maksud ciptaan yang diterjemahkan melalui 20 lagu yang dipersembahkan.
“Kami sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan sifu M Nasir sepanjang lebih empat dekad pembabitannya dalam industri seni tanah air.
“Tetapi, pentas ini menyajikan pelbagai ciptaan dan kreativiti ditumpahkan daripada seorang anak seni sehingga menjadi persembahan visual yang takkan dilupakan.
“Beliau telah melahirkan karya bermutu bukan hanya buat dirinya sendiri, malah ratusan pemuzik yang pernah mendapatkan sentuhan daripada beliau,“ katanya.
Difahamkan, seramai 25 pemuzik terlibat di belakang tabir sepanjang konsert berlangsung, termasuk maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS; Pengarah Muzik, Aznan Alias; gitaris, Rafi Mohd; pemain bass, Norman Abdullah; pemain dram, Ujang Exist, serta ramai lagi.
Konsert tersebut juga menggabungkan elemen klasik, tradisional dan unsur latin dengan susunan lagu yang diolah mengikut irama daripada instrumen seperti gambus, bongo, trumpet, saksofon, seruling, tamborin, marakas dan tabla.