
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Majistret pada hari Selasa bahawa mereka berhasrat untuk meneruskan perbicaraan kes pelakon Hafidz Roshdi yang didakwa mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan berkata keputusan ini diambil selepas pihaknya menerima arahan untuk meneruskan kes terhadap Hafidz yang berusia 30 tahun.
“Dalam prosiding lalu, mahkamah menetapkan prosiding ini untuk status tarik balik laporan polis oleh Nurul Shuhada Mat Shukri selaku pengadu.
“Oleh itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes ini,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili hero drama ‘Tundukkan Playboy Itu’ berkata, pihaknya terperanjat dengan arahan yang telah diterima pendakwaan, namun menghormati perkara tersebut.
Menurutnya, ini kerana pengadu telah menarik balik laporan polis berhubung kes terbabit pada 6 Julai lalu.
“Pengadu (Nurul Shuhada) telah menyatakan dengan jelas, bahawa dia tidak mahu meneruskan kes terhadap Hafidz.
“Oleh itu, demi keadilan kami berhasrat untuk mengemukakan representasi kepada AGC (Jabatan Peguam Negara),” kata peguam itu.
Beliau kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu untuk keputusan representasi, yang akan disertakan dengan surat penarikan balik laporan polis oleh pengadu.
Pembelaan meminta mahkamah memberikan masa dua bulan untuk mendapatkan status terkini daripada AGC.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh status representasi pada 14 Oktober depan.
Di luar mahkamah, Akberdin berkata pembelaan akan mengemukakan representasi kepada AGC untuk meminta penarikan balik semua pertuduhan terhadap anak guamnya.
Dalam prosiding ini, Nurul Shuhada tidak hadir.
Pada 13 Mac 2023, Hafidz mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya (ketika itu) Nurul Shuhada, 30 dengan menumbuk pipi kiri wanita itu tiga kali sehingga menyebabkan luka, lebam dan bengkak.
Perbuatan tersebut didakwa berlaku berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya pada jam 3.22 pagi, 2 Mac lalu.
Tuduhan tersebut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Pada 27 Julai tahun yang sama, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan perceraian pasangan tersebut dengan talak satu.