
Untuk menarik minat penonton, penulis skrip dan pencetus idea teater Andak Bertandak, Fasyali Fadzly telah menukar tajuk asal teater tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Barah.
Menurutnya, perubahan tajuk ini bertujuan untuk memberikan elemen yang lebih ‘catchy’ dan menarik perhatian penonton agar lebih berminat untuk menyaksikan pementasan teater ini yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 1 September di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).
Perubahan tajuk ini juga dicadangkan oleh penerbit eksekutif Mask Team, Shawn Amer dan telah mendapat persetujuan daripada Fasyali sendiri.
“Andak Bertandak adalah naskhah drama pentas panjang pertama yang saya hasilkan. Seingat saya sekitar tahun 2006 atau 2007. Sebenarnya tajuk asalnya ialah Barah.”
“Pada asalnya, drama ini dihantar kepada pensyarah pada waktu itu untuk dijadikan persembahan tahun akhir pengajian diploma saya. Kemudian Shawn pelawa untuk mementaskan karya ini, jadi saya setuju.
“Namun bila nak dipentaskan ni, saya pun cadang beberapa tajuk dan akhirnya jadilah Andak Bertandak. Ini juga seperti satu tribute kepada Bidin Subari dan Syed Alwi yang suka guna frasa yang catchy,” jelasnya.
Tambah Fasyali, setelah memberi kebenaran untuk karyanya dipentaskan dalam teater berskala besar, dia mencadangkan Azhar Zainal sebagai pengarah teater ini.
“Saya beritahu Shawn, saya sudah tidak mahu arahkan karya ini. Kalau ada orang lain yang boleh arahkan teater ‘Barah’ ini, orang itu semestinya Azhar Zainal.
“Dialah yang menyaksikan karya ini lahir dari idea saya dan faham teater ini perlu jadi bagaimana. Saya bagi sepenuh kepercayaan kepada dia.
“Saya terharu yang watak-watak rekaan saya ini akan dijayakan oleh pelakon berbakat baru dan lama. Ketika saya menulis karya ini, saya sangat-sangat enjoy. Saya harap, pelakon enjoy ‘bermain’ di atas pentas dan penonton juga akan enjoy bila menonton naskhah pertama saya,” ujarnya.
Teater Andak Bertandak akan menampilkan pelakon terkenal seperti Azhan Rani, Ellie Suriaty, Riena Diana, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.
Tiket untuk menonton teater Andak Bertandak kini boleh dibeli secara dalam talian di http://www.cloudjoi.com dengan harga tiket bermula dari RM65.
Naskhah ini mengisahkan kehidupan keluarga Andak dan masyarakat di sebuah kampung yang mempercayai perkara tahyul, sehingga menolak perubatan moden tanpa alasan yang munasabah.