
Pemberian Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) telah berjaya menarik pelaburan asing yang besar dan merancakkan aktiviti penggambaran filem di negara ini, menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan sentiasa komited dalam menyokong industri perfileman tempatan, seiring dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat utama produksi filem di Asia.
Sejak 2013 hingga 2023, pelaburan asing dan domestik sebanyak RM2.4 bilion dalam sektor ini telah mencipta 22,820 peluang pekerjaan.
“Sebagai sektor yang mencipta peluang pekerjaan dan membuka ruang kepada inovasi, industri perfileman telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Contohnya penggambaran filem dan produksi kandungan kreatif bukan sahaja meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan sokongan seperti teknologi, logistik dan pelancongan, tetapi juga mewujudkan rantaian nilai yang menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sidang media Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) pada hari Rabu yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Nie Ching juga menyebut bahawa prestasi kutipan box-office filem tempatan menunjukkan kemajuan yang baik dengan 56 filem tempatan mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak RM98.8 juta tahun lalu.
“Menariknya sehingga bulan Mei tahun ini kutipan box office telah mencapai RM87 juta daripada 26 buah filem yang hampir menyamai jumlah keseluruhan tahun sebelumnya,” katanya.
Mengenai FFM33 yang akan diadakan pada 7 Disember tahun ini, Nie Ching berkata bahawa berdasarkan data dari Unit Galakan Industri dan penyertaan Skim Wajib Tayang lebih 100 filem dijangka akan bertanding di festival tersebut.
FFM33 adalah festival filem bertaraf nasional yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Finas untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam kualiti filem dan bakat kreatif tahun ini.
Sebanyak 30 kategori anugerah akan dipertandingkan, dan penyertaan dibuka mulai hari ini sehingga 6 September akan datang.