Hiburan

Yasin Sulaiman Terima Hukuman Penjara Seumur Hidup dan 16 Sebatan

Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menggambarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Khamis yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 kali sebatan sebagai hari yang gelap dan keputusan yang sangat mengejutkan bagi dirinya.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman yang dibawa ke mahkamah dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak berkata, keputusan berkenaan adalah ‘sangat pelik’.

“Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik, saya tidak boleh terima mengapa keterangan saksi pakar, tidak diambil kira oleh mahkamah,” katanya selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas tiga kes dadah, dua tahun lalu.

Yasin turut menzahirkan hasratnya untuk menfailkan rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan .

“Ya, akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan kelak”, katanya secara ringkas kepada pemberita di Mahkamah Rayuan, di sini pada Khamis.

Sementara itu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin, 49, menyatakan bahawa mereka akan memfailkan permohonan rayuan terhadap keputusan tersebut pada hari Jumaat.

Beliau turut mengulangi pendirian bahawa, anak guamnya tidak bersalah dan wajar ditempatkan di Hospital Bahagia itu untuk mendapatkan rawatan.

“Kita akur dan hormat dengan keputusan itu kerana mahkamah ini mempunyai hak untuk mengesahkan atau menukar keputusan Mahkamah Sesyen.

“Kita ada satu lagi peringkat terakhir dan kita akan lawan di Mahkamah Rayuan,” katanya, memetik laporan portal Sinar Harian.

Susulan keputusan mahkamah tersebut, Ariff Azami berharap anak guamnya akan diberikan rawatan dan perubatan yang setimpal di Penjara Kajang, Selangor. Pada pagi Khamis, Yasin dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas tiga kes dadah.

Hakim Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan ini selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk membatalkan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November tahun lalu. Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bertindak sebagai perayu manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin sebagai responden.

Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Untuk kes kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik berisi tanah di lokasi, waktu dan tarikh yang sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberi dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 11.05 malam pada tarikh yang sama.

Pertuduhan ini dikemukakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 29 November 2023, Yasin dilepas dan dibebaskan daripada tiga kes dadah tersebut, namun mahkamah mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, sepanjang tempoh perkenan Sultan Selangor.

Related posts
Hiburan

Bersedekah dan Istiqfar: Pesanan Nora Danish yang Dikongsi Shahrulezad

Nora menitipkan pesanan terutama kepada kaum wanita agar perbanyakkan istiqhfar dan…
Read more
Hiburan

Nazim Othman Akui Gagal Jadi Suami Terbaik, Pilih Kekal Bujang

Nazim Othman menyatakan bahawa dia lebih rela kekal bujang daripada menyakiti hati…
Read more
Hiburan

Saif Ali Khan Pulih Selepas Diserang Pisau, Polis Tangkap Suspek Warganegara Bangladesh

Mengenakan kemeja putih dan seluar jeans biru, beliau sempat bergambar dengan paparazi sebelum…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *