
Pelakon Remy Ishak dan Ashraf Muslim merupakan antara penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada Ahad.
Remy, yang nama sebenarnya Mohamad Zalimei Ishak dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk manakala Mohd Ashraf Muslim menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T).
Ketika ditemui pemberita, Remy berkata beliau tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut dan menganggapnya sebagai salah satu pencapaian paling bermakna dalam karier seni yang telah dilaluinya selama hampir 20 tahun.
“Memang tak pernah bermimpikan pun sebenarnya (untuk menerima gelaran Datuk)… mencari gelaran itu tidak, tapi diberikan hadiah kepada saya.
“Ia memberi satu suntikan semangat kepada saya untuk lebih berjaya pada masa akan datang sekali gus memberi galakan kepada anak-anak muda di negeri ini untuk mengejar cita-cita mereka,” katanya.
Sementara itu, Ashraf menyatakan bahawa menerima B.K.T adalah satu pengiktirafan besar bagi dirinya sejak mula menceburi bidang seni kira-kira 20 tahun lalu.
“Ia boleh juga menjadi pemangkin kepada artis-artis di luar sana untuk lebih aktif bagi mendapat pengiktirafan sebegini rupa,” katanya.