Hiburan

Filem ‘Miftah Alam’: Kisah Dua Alam Sarat Dengan Pengajaran

Penerbit filem, Ridzuan (tengah) dan Adnan (dua dari kanan) bersama pengarah, Mohamad Aidil (tiga dari kiri) serta pelakon Zera (kiri), Taiyuddin (dua dari kanan), dan Jue Aziz (dua dari kiri).

Filem ‘Miftah Alam,’ yang mengisahkan dua dunia berbeza antara manusia dan bunian, sarat dengan kesedaran, tauladan, pesanan dan pedoman akan mula ditayangkan di pawagam tempatan mulai 19 September ini.

Filem pertama terbitan DMJ Megah Sdn Bhd ini, dengan durasi 1 jam 21 minit diarahkan oleh Mohamad Aidil Azhar. Ia menggabungkan unsur seram dan komedi serta menampilkan pelakon-pelakon baharu dan berpengalaman seperti Zera Hafiz, Taiyuddin Bakar, Zam Azmi, Eyka A. Rahim, Jue Aziz, Mubarak Majid, Rusminah Sidek serta Adam Corrie dan Julia Ziegler yang muncul sebagai cameo dalam filem tersebut.

Mohamad Aidil yang turut bertindak sebagai penulis skrip menyatakan bahawa cerita yang disampaikan dalam filem ini menggambarkan realiti kehidupan masyarakat seharian.

Menurut beliau, penggambaran filem tersebut banyak dilakukan di kawasan Jengka, termasuk di Jengka 14, Bandar Pusat Jengka, Lubuk Yu dan selebihnya di Kuala Lumpur serta Ulu Yam pada Mei tahun lalu.

Penggambaran tersebut berlangsung selama lebih sebulan dengan kos hampir RM1 juta.

“Miftah adalah sebutan dari bahasa Arab yang membawa maksud ‘kunci’ dan penonton boleh nampak kehidupan harian masyarakat yang nyata dalam filem tersebut.

“Selama proses penggambaran segalanya berjalan lancar dan Alhamdulillah tiada berlaku insiden mistik yang berlaku,” katanya yang juga anak jati Pahang.

Beliau ditemui pada pelancaran filem itu di Hotel Seri Malaysia pada Isnin yang turut dihadiri oleh penerbit filem, Ridzuan Shah Isa dan Adnan Yajid serta barisan pelakon seperti Zera Hariz, Taiyuddin Bakar dan Jue Aziz.

Tambah beliau, para pelakon diberi kebebasan untuk menjiwai watak masing-masing dan digalakkan memberikan idea untuk filem tersebut. Sementara itu, pelakon utama filem, Zera menganggap pengalaman berlakon bersama pelakon-pelakon berpengalaman sebagai sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

“Pertama kali sebenarnya saya takut, mudah terkesan dengan unsur-unsur seram sebegini tapi saya sahut cabaran ini untuk menguji kebolehan diri dan banyak pengambaraan dibuat dalam hutan.

“Dalam filem ini, saya ada dua watak iaitu satu menjadi diri sendiri, seorang yang ceria dan satu lagi, split personaliti dengan menuntut ilmu hitam demi mendapatkan seorang lelaki,” tambah pelakon itu atau nama sebenarnya Nur Nazira Harizan.

Bagi Taiyuddin Bakar, unsur komedi yang diserapkan dalam filem itu secara spontan dan menyifatkan ia satu watak berbeza dalam filem tersebut berbanding kebiasaan.

“Ini rasanya kali pertama saya berlakon dalam filem genre seram dan dalam filem ini, saya teruja dengan Zera yang juga produk Aswara, gembira persembahan yang ditampilkan,” jelas pelakon berusia 41 tahun itu.

Jue Aziz pula memberitahu terdapat penambahan babak dalam filem tersebut dan memegang watak kakak kepada Zam Azmi.

“Sebenarnya ada kelainan bila ada yang terkejut rupanya saya yang kelakar juga selain turut menari dalam filem ini,” akuinya.

Ridzuan dan Adnan berharap filem ini mendapat sokongan penonton dan diterima oleh masyarakat apabila ditayangkan nanti. Mereka menjelaskan bahawa filem ini merupakan karya pertama yang diterbitkan oleh anak jati Pahang, sesuai ditonton seisi keluarga tanpa mengira bangsa serta menyampaikan banyak pengajaran.

Mereka juga menaruh harapan tinggi kerana ini adalah filem pertama mereka yang dihasilkan tanpa dana dengan tayangan di lebih 30 pawagam melalui Skim Wajib Tayang. Jika berjaya, mereka bercadang untuk menghasilkan filem lebih baik dan mungkin mendapat sokongan daripada Finas untuk sambungannya.

Sinopsis ringkas filem ini menceritakan tentang empat sahabat, Adam (Zam Azmi), Zera (Zera Hariz), Hawa (Eyka A. Rahim) dan Iman (Taiyuddin Bakar) yang berkawan sejak zaman sekolah. Hawa menyimpan perasaan terhadap Adam tetapi tidak pernah meluahkannya.

Setelah dewasa, Zera pula mendekati Adam dan berusaha memenangi hatinya walaupun secara diam-diam dia mengamalkan ilmu hitam yang dipelajarinya daripada seseorang yang dipanggil ‘Bonda’. Dengan ilmu kebatinannya, Zera cuba mengubah takdir untuk memenuhi keinginannya.

Related posts
Hiburan

Bersedekah dan Istiqfar: Pesanan Nora Danish yang Dikongsi Shahrulezad

Nora menitipkan pesanan terutama kepada kaum wanita agar perbanyakkan istiqhfar dan…
Read more
Hiburan

Nazim Othman Akui Gagal Jadi Suami Terbaik, Pilih Kekal Bujang

Nazim Othman menyatakan bahawa dia lebih rela kekal bujang daripada menyakiti hati…
Read more
Hiburan

Saif Ali Khan Pulih Selepas Diserang Pisau, Polis Tangkap Suspek Warganegara Bangladesh

Mengenakan kemeja putih dan seluar jeans biru, beliau sempat bergambar dengan paparazi sebelum…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *