
Personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming mengungkapkan bahawa beliau telah membelanjakan RM80,000 untuk kos tiga orang semasa menghasilkan video masakan di New Zealand.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata jumlah tersebut termasuk penginapan, makanan dan beberapa tempahan terakhir.
“Ketika di sana saya banyak menggunakan wang di bahagian penggambaran. Saya ambil rumah inap yang lawa, makanan yang mahal dan banyak benda yang kami buat tempahan last minute.
“Jumlah kami berbelanja untuk tiga orang adalah RM80,000. Tetapi kalau pergi sendiri dan untuk melancong tidaklah semahal itu,” katanya menerusi siaran langsung (live) TikTok bagi menjawab pertanyaan netizen.
Rata-rata netizen di ruang komen berkata perbelanjaan itu berbaloi selepas titik peluhnya itu mendapat perhatian ramai termasuk Perdana Menteri New Zealand iaitu Christopher Luxon.
“Labur RM80,000 kemudian dapat kunjungan Perdana Menteri New Zealand, memang power la! Tahniah, Alhamdulillah.
“RM80,000 dia habis, memang tempat lawa.
“RM80 ribu, Insya-Allah Allah gandakan lebih rezekinya,” komen netizen.
Sebelum ini, Khairul Aming mengejutkan rakyat Malaysia apabila menerima kunjungan daripada Perdana Menteri New Zealand sempena lawatannya ke negara ini.
Pertemuan dengan Christopher tersebut adalah bentuk penghargaan daripada New Zealand setelah Khairul Aming banyak menghasilkan video masakan di negara tersebut sebelum ini.