
Peminat muzik era 90-an akan berpeluang mengimbas kembali kenangan zaman tersebut menerusi Konsert Telan Kaset 90-an, yang akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor pada 12 dan 13 Oktober depan.
Jurucakap penganjur, Baizura Tahir mengumumkan bahawa antara artis yang akan membuat persembahan adalah Rahmad Mega, Kool, Ady Wow, Aris Ariwatan, Dinamik, Kasawari, Roy, Amir Ukay’s, Shidi Data, Isa Gravity, Wann, Febians, Hasnol, Shades, A To Z, Tom, Fuad dan Zamani.
“Konsert itu merupakan sebahagian daripada acara Festival Muzik Vits anjuran jenama mi segera popular tanah air, Vit’s dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia.
“Konsert itu juga bertujuan mengumpul dana buat Persatuan Karyawan Malaysia melalui jualan tiket, seterusnya digunakan untuk membantu artis veteran dan karyawan yang sakit atau uzur, selaras dengan matlamat penubuhan persatuan tersebut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata festival tersebut juga akan menampilkan lebih 80 reruai yang menawarkan pelbagai jenis makanan berasaskan mi serta aktiviti riadah berupa permainan berkonsepkan karnival yang sesuai untuk seisi keluarga.
“Pengunjung yang hadir dengan pakaian berkonsep 90-an seperti rock, hip hop mahupun dangdut, bakal menerima hadiah daripada pihak penganjur, dan atas permintaan ramai di media sosial yang mahukan pertandingan karaoke diadakan, pihak Vit’s mengalu-alukan pengunjung mengambil bahagian dalam acara itu yang menawarkan pelbagai hadiah menarik,” katanya.
Tiket Konsert Telan Kaset 90-an yang berharga RM45 boleh dibeli di laman web http://Ticket2u.com.my.