
Model dan pelakon Sandra Lim memenuhi ramalan apabila dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2024 dalam majlis yang diadakan di Kuala Lumpur pada hari Jumaat lalu.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu berjaya mengatasi 15 finalis lain untuk meraih gelaran juara. Selain Sandra, naib juara dan pemenang tempat ketiga Miss Universe Malaysia 2024 adalah Gianna Tan dan Temara Inigo.
“Segalanya berlalu dengan begitu pantas. Saya, Sandra Lim, adalah Miss Universe Malaysia 2024 yang baru.
“Sukar untuk menggambarkan perasaan saya sekarang, namun saya bersyukur. Saya memutuskan untuk menyertai Miss Universe Malaysia dengan sepenuh hati dan jiwa, berserah kepada tuhan sepenuhnya.
“Saya berharap ketekunan dan keazaman saya dalam mencipta perubahan dapat memberi inspirasi kepada anda untuk memperjuangkan impian anda.
“Ini juga merupakan pencapaian besar bagi saya, di mana saya bersaing sebagai diri sendiri dan dengan diri sendiri. Saya telah belajar banyak hal tentang ketahanan, persahabatan, dan komitmen sepanjang proses ini,” tulisnya menerusi hantaran khas di Instagram.
Dalam pada itu, Sandra turut menyatakan penghargaan buat juara-juara terdahulu yang menjadi inspirasi buatnya.
“Kepada semua ratu dan wanita luar biasa yang telah mendahului saya, terima kasih kerana menginspirasi saya dalam pelbagai cara.
“Sandra tak sangka akan mendapat sokongan sebegini sejak dari awal lagi. Sandra terharu, teruskan menyokong perjalanan kami bersama @missuniversemalaysia menuju ke pertandingan antarabangsa!” tambahnya.
Kemenangan Sandra Lim yang berusia 23 tahun itu menandakan dia akan sekali lagi mewakili negara di peringkat antarabangsa untuk Miss Universe ke-73 yang akan berlangsung di Mexico pada bulan November nanti.
Sebelumnya, Sandra telah mengharumkan nama Malaysia dengan meraih gelaran naib juara di Miss Global 2022 di Indonesia.
Sandra yang nama penuhnya adalah Sandra Lim Shue Hui, kini bergelar peragawati, pelakon dan hos. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari City University dan telah menerima anugerah kecemerlangan pelajar semasa majlis graduasinya.
Sebagai rekod, wakil Malaysia terakhir yang berjaya mara ke semi-final di Miss Universe adalah Josephine Lena Wong pada tahun 1970.
Sejak itu, sudah lebih 53 tahun nama Malaysia tidak muncul di pentas Miss Universe dengan wakil Malaysia gagal menempatkan diri di peringkat akhir setiap tahun.