
Penyanyi terkenal Shila Amzah kini sibuk mempersiapkan diri untuk menyertai rancangan realiti nyanyian terbaru di China, ‘Singing With Legends’ musim keenam yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Rancangan 13 episod yang melibatkan gabungan artis lama dan baharu ini sedang dijalankan di Wuxi dan Shanghai.
Shila, 34, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah yang pernah menjuarai program nyanyian ‘Asian Wave’ pada tahun 2012.
Dia turut menyertai pertandingan ‘I Am A Singer’, mengatakan bahawa fokusnya sekarang adalah untuk memastikan dia cukup bersedia dari segi fizikal dan nyanyian untuk pertandingan tersebut.
“Sekarang memang setiap hari saya buat latihan kecergasan dan nyanyian, selain memberi fokus kepada kesihatan dalaman, memandangkan saya baru sahaja melahirkan anak kedua yang kini berusia empat bulan.
“Saya cuba (latihan kecergasan) setakat termampu, saya harap latihan sejak dua bulan lepas cukup untuk menghadapi pertandingan ini nanti,” katanya.
Pelantun lagu “Memori Tercipta” dan “Patah Seribu” itu juga tidak mahu menetapkan sasaran yang tinggi, sebaliknya hanya berhasrat untuk melangkah ke peringkat akhir pertandingan tersebut.
“Saya di China ini selalunya memang sasarkan untuk ke akhir sahaja, tidak mahu tetapkan untuk mesti menjadi juara, sebab saya sedar yang saya baru lepas bersalin. Lagipun, tidak mahulah letak ‘stres’ pada diri sendiri, saya mahu nikmati perjalanan ini, ini pengalaman terbaharu saya.
“Apa yang lebih menarik, kali ini saya ditemani suami. Dengan adanya dia (suami), peminat di Malaysia boleh melihat sedikit sebanyak perjalanan saya di sini,” katanya.
Beliau juga berharap penyertaannya dalam program tersebut akan menjadi langkah awal yang baik untuk kerjaya seninya di Malaysia dan China selepas beberapa bulan berehat.
Sementara itu, seorang penuntut universiti, Alice Wang, 21 merasa teruja dengan penyertaan Shila dalam rancangan realiti nyanyian itu dan berharap penyanyi tersebut dapat memberikan yang terbaik.
“Sudah agak lama kami tidak mendengar apa-apa tentang Shila. Penyertaannya dalam program ini boleh melonjakkan lagi populariti dan saya percaya ramai peminat di sini merindui Shila,” katanya.
Melalui akaun Instagramnya, Shila mengumumkan penyertaannya dalam pertandingan nyanyian di China dan dalam hantaran tersebut, penyanyi itu turut berharap agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya dalam perjalanan baharu ini.