
Bintang rock terkenal, Jon Bon Jovi menerima pujian dari pihak berkuasa setelah berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita di Nashville pada hari Selasa lalu.
Jabatan Polis Metropolitan Nashville berkongsi video yang menunjukkan vokalis Bon Jovi itu mendekati wanita tersebut yang kelihatan dalam keadaan tertekan dan berdiri di tepi luar jambatan yang melintasi Sungai Cumberland.
Dalam video berdurasi 52 saat itu, Jon nama sebenar John Francis Bongiovi Jr, 62, bersama seorang individu lain yang dipercayai sebagai pembantu produksinya, berbual dengan wanita tersebut sebelum membantunya kembali ke bahagian dalam jambatan.
“Kita semua bertanggungjawab untuk membantu memastikan satu sama lain selamat,” kata Ketua Polis Nashville, John Drake dalam satu kenyataan ringkas.
Menurut sumber, Bon Jovi sedang merakam video muzik di jambatan tersebut ketika kejadian berlaku.
Jabatan Bomba Nashville dan Jabatan Polis Nashville segera tiba di lokasi selepas menerima panggilan dengan Drake memuji tindakan pantas dan berani penyanyi itu.
Sejurus selepas insiden itu didedahkan oleh media, selebriti tersebut menerima pujian daripada peminat, pengguna media sosial serta pihak berkuasa tempatan.
Pihak Bon Jovi bagaimanapun belum memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.