
Kehadiran Datuk Awie pada perlawanan bola sepak anjuran Wings Motorgang Society (WMGS) antara negeri dijangka akan meriahkan lagi kejohanan tersebut pada Ahad ini.
WMGS dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa legenda rock negara itu akan hadir dan beraksi dalam pertandingan di padang bola sepak Seksyen 4, Shah Alam bagi merebut Piala Dato’ King.
Menurutnya, kejohanan anjuran WMGS Selangor dan WMGS Kuala Lumpur itu akan berlangsung dari jam 3 petang hingga 9 malam.
“Kejohanan yang julung kali diadakan ini menyaksikan penyertaan pasukan bola sepak WMGS dari seluruh negara.
“Ia membawa aspirasi besar Datuk Awie atau lebih dikenali sebagai ‘Dato’ King’ dalam kalangan ahli kelab permotoran ke pertandingan bola sepak yang menyatukan seluruh masyarakat di negara ini,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Tambahnya, pertandingan bola sepak yang dianjurkan itu menyediakan platform untuk pasukan bersaing dalam suasana yang santai tetapi tetap kompetitif.
Selain itu, ia juga bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan positif, serta membina semangat persahabatan antara ahli kelab.
“Juara pertandingan bola sepak ini akan membawa pulang piala pusingan dan medal, selain turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah lain,” kata kenyataan itu.