Personaliti TV, Hana Ismail mengungkapkan rasa syukur apabila suaminya, Da’i Syed menerima penangguhan hukuman penjara sementara selepas 21 hari menjalani hukuman di penjara Kajang.
Bagi Hana, dia ingin memanfaatkan masa yang ada untuk bersama suami dan anak perempuan mereka, Sharifah Fatma Nour Jamalullail, sebaik mungkin.
“Alhamdulillah syukur, sebenarnya manusia ini diberi pinjaman masa.
“Jadi saya nak habiskan masa sebaik mungkin bersama suami dan anak selagi boleh. Saya lega,” katanya.
Hana ditemui ketika menemani Da’i Syed menghadiri prosedur sebutan semula pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Pada waktu yang sama, Hana juga berkongsi bahawa dia dapat mengharungi ujian ini dengan baik dan menerima sokongan daripada beberapa pihak.
Alhamdulillah, Allah maha baik, sebenarnya tak semua orang begitu (mengecam).
“Ramai juga orang di luar sana yang baik-baik dan prihatin dengan kami. Mungkin pada mereka kami tidak layak. Tetapi sebab ihsan kami tinggi dan berkelakuan baik dapat juga (sokongan),” tambahnya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan 5 November 2024 untuk sebutan semula pengurusan kes Da’i Syed. Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak setelah Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita lima tahun yang lalu.
Namun, selepas 21 hari menjalani hukuman, Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan untuk membenarkan permohonan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga rayuan didengar dan diputuskan pada hari Jumaat.