Stesen radio ERA FM telah melancarkan inisiatif terbaru yang dinamakan Bantu ONE 3PE sebagai usaha untuk membantu golongan yang memerlukan menghadapi cabaran hidup.
Melalui inisiatif ini, ERA menawarkan bantuan tunai sebanyak RM400 kepada pendengar terpilih dengan hanya membuat panggilan ke konti radio ERA dan berkongsi kisah kesulitan mereka bersama penyampai 3 Pagi ERA, Nabil, Azad dan Radin.
Pengurus Saluran ERA, Azah Sahrin menjelaskan bahawa idea untuk melancarkan Bantu ONE 3PE timbul selepas pihak ERA menerima banyak permintaan bantuan melalui mesej langsung (DM) di media sosial rasmi ERA.
Beliau menyatakan bahawa menyedari keperluan ini, pihak pengurusan tertinggi ERA telah bersetuju untuk melaksanakan segmen ini sebagai bentuk tanggungjawab sosial untuk meringankan beban pendengar yang menghadapi kesusahan.
“Kami di ERA tidak hanya fokus kepada hiburan semata-mata, tetapi kami juga ingin memainkan peranan dalam membantu pendengar kami yang menghadapi kesulitan.
“Bantuan tunai RM400 yang diberikan diharap dapat membantu mereka membeli barangan keperluan harian atau menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” ujar Azah Sahrin.
Setakat ini, dua bantuan di bawah inisiatif ini sudah dilaksanakan bermula dengan adik Arman yang dikecam di media sosial selepas ibunya membelikannya sepasang kasut larian tiruan. Berikutan kecaman itu, Bantu ONE 3PE dengan berbesar hati telah membantu membeli sepasang kasut tulen untuk adik tersebut.
Kes kedua melibatkan adik Arisa yang menghidap kanser mata tahap empat menyebabkan kedua-dua matanya tidak dapat melihat seperti biasa.
Inisiatif Bantu ONE 3PE yang berlangsung dari 7 hingga 18 Oktober ini telah menerima sambutan yang hangat daripada pendengar ERA di seluruh negara dengan ramai yang memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.