Pelakon Zul Ariffin, 38 tahun mengakui bahawa peluang untuk bekerjasama dengan pencipta kandungan media sosial terkemuka Sofyank telah memberikan perspektif dan keyakinan bahawa anak muda itu mampu mencapai kejayaan lebih besar dalam bidang yang diceburi.
Zul menyatakan bahawa beliau menyedari perkara ini setelah berkesempatan berada di bawah arahan Sofyank dalam penghasilan sebuah video khas mengenai permainan video MMORPG terkenal dunia, Forsaken World 2, baru-baru ini.
“Sebelum ini, saya hanya mendengar dan tahu nama Sofyank ini bila ramai cakap mengenai video-video animasi atau VFX yang dia sering hasilkan di media sosial.
“Ada juga antaranya yang saya lihat dan dari situ saya dapat rasakan dia ini berbakat besar, dia pun pernah bekerjasama dengan nama-nama besar di luar negara seperti Zach King, Will Smith, Chris Hemsworth dan Paul Rudd.
“Kemudian bila dapat pula peluang untuk bekerjasama dengannya dalam video Forsaken World 2 ini, sudah tentulah saya pun teruja. Bagi saya, Sofyank adalah antara bakat anak Malaysia yang mampu pergi lebih jauh. Tidak mustahil dengan potensi yang dimiliki, dia mampu melakukan sesuatu untuk industri seni perfileman tanah air,” katanya.
“Selain itu, berkongsi mengenai pengalamannya membawakan watak adiwira dalam video arahan Sofyank itu, Zul berkata, ia merupakan kali pertama dia menggayakan kostum ala-ala Marvel sepanjang membina kerjaya sebagai anak seni.”
Katanya, kostum yang diinspirasikan daripada salah satu watak dalam permainan tersebut iaitu Demon Hunter akan menjadi salah satu kenangan yang menarik buat dirinya.
“Lakonan saya dalam video ini juga agak berbeza kerana banyak melibatkan kesan visual dengan menggunakan skrin hijau. Saya harus menggunakan imaginasi saya sendiri.
“Kostum itu nampak macam besi, tetapi tidak berat pun. Saya kagum sebab kostum itu juga dihasilkan daripada pereka bertaraf antarabangsa.
“Saya berjaya bawakan watak itu di bawah pengarahan Sofyank tidak sampai lima jam. Semuanya berjalan dengan lancar dan yang penting saya ‘enjoy’ melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Sofyank yang nama sebenarnya Muhammad Sofian Abdullah, 28 tahun mengakui bahawa beliau sangat gembira dapat bekerjasama dengan pelakon Sheriff: Narko Integriti yang dianggap sangat profesional.
“Saya rasa Zul merupakan pilihan yang paling tepat untuk watak ini. Bukan sahaja kerana dia seorang pelakon aksi yang berkaliber tetapi juga kerana watak Demon Hunter ini memerlukan susuk tubuh sasa untuk beraksi dengan senjata yang besar.
“Sepanjang bekerjasama dengannya, saya seronok sebab Zul memang sangat profesional,” katanya.
Untuk menambah elemen fantasi dalam video tersebut, Sofyank juga mendapatkan khidmat animator antarabangsa yang pernah terlibat dalam filem Hollywood seperti The Little Mermaid, Snow White dan Sonic the Hedgehog.
Ini bukanlah kali pertama Sofyank berkolaborasi dengan bintang tempatan untuk tujuan permainan video mudah alih.
Sebelum ini, Sofyank pernah bekerja sama dengan Beto Kusyairy dalam sebuah video kesan visual yang berjaya meraih jutaan tontonan dan menjadi perbualan ramai.
Video arahan Sofyank untuk Forsaken World 2 boleh ditonton di laman sosial mulai hari ini manakala pelancaran rasmi permainan yang diterbitkan oleh VNGGames akan berlangsung pada 22 Oktober dan boleh dimuat turun di App Store serta Google Play.
VNGGames sebelum ini juga mencatat sejarah sebagai syarikat permainan video global pertama yang mengadaptasikan watak pahlawan Melayu, Mat Kilau dalam sebuah permainan mudah alih yang terkenal.