Aktor yang baru-baru ini mendapat jolokan ‘duda hot’, Fattah Amin, kembali menjadi perhatian umum apabila menolak untuk menerima wang komisen daripada hasil jualan sebuah jenama kambing perap.
Melalui perkongsian di akaun rasmi Instagram jenama tersebut, mereka telah memuat naik tangkap layar perbualan dengan Fattah mengenai jumlah komisen yang sepatutnya diterima oleh selebriti berusia 34 tahun itu.
Namun, bapa kepada seorang cahaya mata ini meminta agar hasil komisen itu diuruskan oleh pihak jenama kambing perap tersebut untuk diinfakkan.
“Alhamdulillah. Terima kasih bos. Cuma saya nak minta tolong urusan wang komisen tersebut boleh? Infak kepada orang yang memerlukan,” tulis Fattah dalam mesej tersebut.
Sementara itu pemilik jenama daging tersebut meluahkan rasa kecewa kerana Fattah enggan menerima wang komisen daripadanya.
“Kecewa dengan tindakan Fattah Amin. Kecewa sebab beliau tolak komisen dan tak ambil 1 sen pun atas hasil penat lelah menjual kambing.
“Tapi kami bangga beliau yakin dengan rezeki yang telah ditakdirkan. Kami minta izin untuk kongsi supaya dijadikan inspirasi buat rakyat Malaysia.
“Tangan yang memberi adalah lebih baik daripada yang menerima. Moga dibalas segala kebaikkan Fattah Amin,” tulis wakil jenama tersebut pada bahagian kapsyen hantaran tersebut.
Minggu lalu, Fattah telah tampil dalam sesi siaran langsung jenama daging tersebut untuk mempromosikan pek promosi mereka.
Sesi siaran langsung yang berlangsung selama tiga jam itu berjaya menarik jumlah tontonan sebanyak 100,000 dengan lebih 44 juta tanda suka.