Walaupun namanya terpalit dengan beberapa kontroversi, pelakon Amir Ahnaf mengakui bahawa kehidupannya kini berjalan dengan baik dan dia menjalani rutin harian seperti biasa.
Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 24, menyatakan bahawa dia ingin memberi fokus dan tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya seni serta berusaha untuk meningkatkan kualiti lakonannya.
“Kehidupan saya baik sekarang. Iya saya ‘single’, tolong carikan teman wanita seorang. Saya kalau balik rumah, saya akan duduk atas sofa dan tonton Netflix. Ada yang menasihati kepada saya sebegitu, sebab kita (pelakon) pembikin filem dan filem yang akan membikin kita. Kita tengok filem dan itulah yang akan membantu untuk bina karakter kita untuk filem seterusnya. Saya menjalani kehidupan seperti biasa.”
Amir menyatakan perkara tersebut ketika ditemui di majlis sidang media filem Kahar: Kapla High Council yang berlangsung di Setia City Mall, Shah Alam pada hari Sabtu.
Sebelum ini, nama Amir menjadi topik perbincangan hangat di media sosial setelah tular foto dan mesej perbualan dengan seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai kekasih pelakon tersebut.
Dalam perbualan itu, Amir didakwa mengajak gadis berusia 18 tahun itu untuk meluangkan masa bersamanya.
Dalam perkembangan terkini, Amir bakal muncul dalam filem Kahar: Kapla High Council yang dijadualkan tayang di pawagam seluruh negara pada 28 November ini.
Filem yang diarahkan oleh Razaisyam Rashid dan ditulis oleh Anwari Ashraf ini turut menampilkan pelakon lain seperti Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Thompson Goh, Khenobu, Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Ayie Khairie dan Hasnul Rahmat.