Siapa sangka bahawa aktiviti mengemis atau mengutip derma dapat memberikan pendapatan yang begitu lumayan. Ternyata, ada segelintir pengemis yang mampu meraih sehingga RM400 sehari atau RM12,000 sebulan, sungguh mengejutkan!
Menurut laporan, dalam operasi Ops Kutip dan Ops Jaja yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor kelmarin, pihak berkuasa berjaya menahan empat warga asing yang didapati terlibat dalam aktiviti mengemis di pasar malam tersebut.
Mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan ini selama lebih tiga bulan dan lokasi tersebut menjadi pilihan kerana kedudukannya yang strategik serta pendapatan yang tinggi.
Operasi di pasar malam Taman Nusa Perintis, Gelang Patah, Johor Bahru ini dijalankan setelah pihak Imigresen menerima aduan daripada orang awam.
Difahamkan, kegiatan pengemis warga asing ini pernah dipatahkan sebelum ini namun kini muncul semula dengan individu baru.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, mereka yang ditahan termasuk dua lelaki warga Thailand, seorang lelaki warga Kemboja dan seorang lelaki warga Pakistan.