KUALA LUMPUR: Bapa kepada pelakon terkenal Sharnaaz Ahmad, Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad, telah meninggal dunia awal pagi Rabu. Khabar duka ini dimaklumkan sendiri oleh Sharnaaz melalui hantaran di Instagram miliknya.
“Hero saya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.40 pagi ini. Dia tidak pernah berhenti berjuang, hanya jantungnya sahaja yang berhenti berdegup. Dia akan selamanya menjadi hero dan juara untuk saya. Saya sayang papa, Al-Fatihah papa,” tulisnya dalam nada penuh emosi.
Dalam hantaran tersebut, Sharnaaz, 38, turut memaklumkan bahawa jenazah sedang dibawa pulang ke kampung halaman keluarganya di George Town, Pulau Pinang. Dia turut meluahkan rasa terima kasih kepada bapanya atas peranan besar yang dimainkan sepanjang hidupnya.
“Terima kasih kerana menjadi bapa yang luar biasa kepada kita semua. Saya hanya separuh kuat dan separuh baik seperti anda. Sekarang, ajar saya untuk menjadi hebat seperti anda dari syurga, tau,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Sharnaaz juga memaklumkan bahawa solat jenazah akan diadakan di Masjid Syed Eyusof, George Town, selepas solat Asar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Lama.
Semoga roh Allahyarham Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah.