
MEMBAKUT: Seorang pekerja kontrak meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang menjalankan tugas memasang talian internet untuk sebuah syarikat telekomunikasi di Kampung Sinoko, Jalan Bambangan, pada Selasa.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan mengesahkan bahawa kejadian berlaku ketika lelaki berusia 19 tahun itu sedang bekerja berhampiran tiang elektrik.
Menurut kenyataan tersebut, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 petang dan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis segera dihantar ke lokasi kejadian.
“Mangsa telah dihantar ke hospital oleh rakan sekerjanya sebelum ketibaan pasukan bomba dan telah disahkan meninggal dunia di hospital oleh doktor yang bertugas.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 5.12 petang,” katanya.