
MANILA: Seorang wanita Filipina melancarkan sebuah buku komik berjudul ‘The Stories of Teacher Jun’ sebagai usaha untuk menangkis kempen maklumat salah oleh China yang dikatakan bertujuan untuk mempertahankan tuntutan wilayahnya yang luas di Laut China Selatan.
Buku komik setebal 40 halaman itu, yang dilancarkan oleh pegawai Filipina, menggunakan watak seorang guru dan pelajar muda dalam bentuk karikatur berwarna untuk menerangkan isu pertikaian wilayah yang rumit dengan cara yang mudah difahami, sambil menegaskan pendirian Filipina.
Dalam salah satu adegan fiksyen dalam buku tersebut, seorang pelajar menggambarkan China sebagai pembuli manakala pelajar lain menyifatkan tindakan Beijing sebagai melampau. Penasihat Keselamatan Negara Filipina, Eduardo Ano, ketika berucap pada majlis pelancaran, berkata pegawai China bersama media yang disokong negara terus menyebarkan naratif yang diputarbelitkan untuk merosakkan usaha Filipina dan menghalalkan tuntutan unilateral mereka.
Filipina, katanya, akan melakukan apa sahaja untuk melawan maklumat salah dan naratif palsu demi mendedahkan kebenaran. Filipina telah lama berhadapan dengan cabaran besar menentang China dalam perebutan wilayah di Laut China Selatan. Isu ini mendorong Filipina memperkukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu lain untuk menghalang tindakan agresif Beijing.
Buku ini disasarkan kepada pelajar muda dan penduduk luar bandar yang kurang akses kepada sumber berita dan juga boleh didapati dalam bahasa-bahasa lain untuk pembaca asing yang berminat. Laut China Selatan yang merupakan laluan perdagangan global utama dengan kawasan perikanan yang kaya serta simpanan gas bawah laut, turut menjadi tuntutan oleh negara-negara lain seperti Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.
Setakat ini, tiada komen rasmi dari pihak China, namun mereka sebelum ini berulang kali mempertahankan tuntutan terhadap hampir keseluruhan perairan tersebut dan menuduh Filipina serta negara-negara lain sebagai penceroboh.