
ISLAMABAD: Seorang remaja perempuan ditembak mati oleh bapanya sendiri di Pakistan kerana tidak bersetuju dengan kandungan TikTok yang dihasilkan oleh mangsa dalam kejadian di Quetta, Pakistan pada Selasa.
Suspek, Anwar ul-Haq, pada mulanya mendakwa bahawa anak perempuannya yang berusia 15 tahun telah ditembak oleh penembak tidak dikenali, namun akhirnya mengaku bahawa dia adalah pelaku jenayah tersebut.
Polis telah mendakwa Anwar ul-Haq atas tuduhan membunuh, dan selain suspek, abang iparnya turut ditangkap, lapor Reuters.
Menurut pegawai polis Babar Baloch, siasatan awal mendapati bahawa keluarga mangsa tidak bersetuju dengan cara berpakaian, gaya hidup dan pergaulan sosial anak perempuan yang dilahirkan di Amerika Syarikat itu.
Difahamkan, pihak Kedutaan AS masih belum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.