
IPOH: Seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan telah membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa memfitnahnya berhubung isu tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan.
Mohamad Lotfi Samsudin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak malam tadi, mendakwa bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, telah memfitnahnya melalui akaun Facebook peribadinya.
Menurutnya, Hasnul Zulkarnain menuduhnya melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, serta tidak menghormati arahan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk).
“Beliau turut menghina dan memfitnah saya sebagai pembohong dalam posting di akaun Facebook peribadinya.
“Tindakan melemparkan fitnah seperti ini sangat tidak wajar, terutama bagi seseorang yang marah apabila teks khutbah mengenai fitnah tidak dibaca oleh khatib,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Mohamad Lotfi menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi menjejaskan reputasinya sebagai imam di Masjid Sultan Idris II, Teluk Intan.
Beliau menegaskan bahawa dirinya sentiasa komited menjalankan tugas mengikut arahan yang ditetapkan oleh JAIPk.
Sehubungan itu, beliau telah menyerahkan perkara ini kepada peguam untuk meneliti tindakan undang-undang terhadap fitnah yang dilemparkan kepadanya.
Selain itu, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menyebarkan video fitnah berkenaan di media sosial.
Pada Ahad lalu, Hasnul Zulkarnain membuat laporan polis berhubung tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa enggan membaca teks khutbah yang disediakan oleh JAIPk pada Jumaat lepas.
Menurutnya, laporan itu dibuat selepas imam berkenaan mengakui membaca teks khutbah tahun 2023, bukannya teks khutbah terkini.