
KUCHING: Buku The 365 Days in Astana: Kisah dan Potret Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan sekadar koleksi gambar, tetapi juga sebuah naratif yang merakamkan tanggungjawab, rasa hormat, dan dedikasi beliau.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata buku ini menggambarkan serta mentakrifkan peranan terhormat Wan Junaidi, dengan kisah yang penuh nilai sejarah dan hubungan kemanusiaan.
“Setiap potret menyampaikan kisah tersendiri, memberikan pembaca gambaran mengenai pelbagai tanggungjawab yang jarang diketahui umum, daripada usaha memupuk perpaduan masyarakat majmuk Sarawak hingga mewakili negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Astana Negeri Sarawak, sebagai kediaman rasmi dan pusat pentadbiran Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri, menjadi latar bermakna bagi perjalanan ini. Ia melambangkan khazanah warisan Sarawak, di mana sejarah dan kemodenan bersatu dengan harmoni. Di sinilah pelbagai perbincangan mengenai pemerintahan, budaya, dan masa depan negeri berlangsung,” katanya pada majlis pelancaran buku di Dewan Undangan Negeri, malam tadi.
Sementara itu, Abang Johari turut menyatakan bahawa buku Pejuang Sejati: Dari Rimba Ke Astana mengisahkan perjalanan hidup dan sumbangan Wan Junaidi. Beliau dikenali bukan sahaja sebagai pemimpin berintegriti dan berwibawa tetapi juga sebagai negarawan yang komited terhadap pembangunan Sarawak dan kesejahteraan rakyat.
“Sepanjang kerjayanya, sama ada sebagai pengamal undang-undang, ahli politik, menteri, mahupun sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi sentiasa menunjukkan kebijaksanaan, kesederhanaan, dan keprihatinan yang luar biasa.
“Buku ini bukan sekadar dokumentasi perjalanan dan pencapaian beliau, tetapi juga satu penghormatan terhadap nilai kepemimpinan, ketabahan, dan cinta terhadap tanah air, yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang,” katanya.
Kedua-dua buku ini mengisahkan perjalanan hidup Wan Junaidi dari permulaan kerjayanya sehingga pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.