
Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan telah memohon agar waran tangkap dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta pegawai-pegawainya.
Notis permohonan tersebut telah diserahkan kepada tiga panel hakim yang terlibat dalam praperbicaraan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Permohonan itu juga melibatkan pemimpin tertinggi Israel lainnya, termasuk Menteri Pertahanan Yoav Gallant.
“Netanyahu dan Yoav Gallant disyaki melakukan jenayah seperti kebuluran orang awam di Palestin sebagai kaedah peperangan, pembunuhan, sengaja mengarahkan serangan terhadap penduduk awam dan kemusnahan.
“Kami mempunyai bukti bahawa Israel telah sengaja dan dengan sistematik melakukannya.
“Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya tetapi bukan dengan sengaja menyebabkan kebuluran, penderitaan yang besar dan kecederaan serius terhadap penduduk awam,” katanya.
Sejak Oktober tahun lalu, tentera Israel telah membunuh 34,183 warga Palestin dan mencederakan lebih dari 77,000 lainnya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Menurut Pejabat Media Kerajaan yang berpusat di Gaza, tentera Israel telah melakukan 3,021 pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga Palestin di seluruh Semenanjung Gaza sejak serangan Israel yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu.
Pada awal bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memberi amaran mengenai ‘ugutan misteri’ selepas muncul laporan bahawa Israel bimbang tribunal itu boleh mengeluarkan waran tangkap berkaitan Perang Gaza.
Karim Khan melalui platform X tidak menyatakan dengan jelas sama ada ugutan tersebut berkaitan dengan siasatan terhadap kemungkinan jenayah perang di Palestin, meskipun banyak pihak menggesa agar Israel diheret ke muka pengadilan.
Sebelumnya, pemimpin ekstremis Israel turut mengkritik tribunal tersebut setelah khabar angin mengenai waran tangkap mula tersebar luas.
Rangkaian media Axios melaporkan bahawa Tel Aviv memberi amaran kepada sekutunya, Washington bahawa ia akan bertindak balas dengan tegas terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA) jika ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli politik mereka.
Anggota Kongres AS juga menyatakan mereka akan mengambil tindakan yang sama setelah siasatan ICC terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza ditolak dengan alasan tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa.