
Lima pelakon utama filem Kahar: Kapla High Council iaitu Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Thompson Goh dan Khenobu telah diumumkan bulan lalu. Watak ikonik High Council muncul semula.
Terbaru, Astro Shaw telah mendedahkan senarai pelakon dari siri premium terkenal Project High Council yang akan kembali dalam filem prekuel ini. Barisan pelakon tersebut termasuk Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Nadhir Nasar, Naim Daniel, Yusof Hashim (Ucop), Sathisvaran, Hushairy Hussain, Ameer Asyraf dan Hasnul Rahmat.
Skrip filem Kahar: Kapla High Council ditulis oleh pencipta siri Project High Council, Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain dan diarahkan oleh Razaisyam Rashid.
Penerbit Eksekutif Kahar: Kapla High Council serta Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad mengumumkan bahawa penggambaran telah selesai pada 25 Julai lalu dan kini berada dalam fasa suntingan.
“Insya-Allah, filem Kahar: Kapla High Council akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada bulan November nanti. Untuk menambah keterujaan, kami mengembalikan para pelakon asal dari siri Project: High Council. Kehadiran mereka dalam filem ini memberikan lebih makna kepada jalan cerita serta mengekalkan konsistensi karakter. Peminat pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat semula watak-watak kegemaran mereka di layar perak,” katanya.
Astro Shaw juga telah mempersembahkan first look iaitu video di sebalik tabir pembikinan Kahar: Kapla High Council serta teaser trailer dan poster filem ini. Selain itu, Astro Shaw turut mengumumkan secara rasmi rakan kerjasama mereka iaitu HM Entertainment dan ZAK Capital.
Sebelum ini, Astro Shaw telah melancarkan ‘Lesen High Council’, pas eksklusif untuk peminat yang ingin terlibat dalam aktiviti bersama barisan pelakon. Dalam fasa pertama, peminat diberi peluang menyertai peraduan dengan menjawab 100 soalan di portal Gempak. Hampir 2000 penyertaan diterima dan 100 nama pemenang pertama telah diumumkan.
Selain itu, 10 pemenang yang menjawab paling pantas telah dipilih untuk menghadiri acara istimewa perarakan Hari Merdeka pada 31 Ogos nanti.
Bagi mereka yang tidak berjaya memenangi Lesen High Council, terdapat berita baik. Anda masih berpeluang mendapatkan Lesen High Council Edisi Khas melalui rakan penaja filem ini, Tune Talk. Lesen High Council Edisi Khas yang terhad ini akan tersedia untuk pengguna Tune Talk.
Untuk maklumat lanjut dan tawaran menarik lain, ikuti Tune Talk di media sosial atau layari laman web rasmi mereka di Tune Talk.
Peminat juga boleh mendapatkan koleksi hoodie eksklusif Kahar: Kapla High Council edisi terhad melalui Gempak Official Store di platform Shopee bermula 8 Ogos. Lawati portal rasmi Kahar: Kapla High Council di www.gempak.com/KaharKaplaHighCouncil dan dengar di radio rasmi Era untuk info terkini.
Ikuti pengumuman lanjut tentang filem ini melalui akaun media sosial Astro Shaw dan Astro Gempak serta gunakan #KaharKaplaHighCouncil untuk berkongsi mengenai filem ini di media sosial anda.
SINOPSIS:
Kahar: Kapla High Council mengisahkan Kahar, seorang pelajar tingkatan 4 yang pendiam dan sering menyisihkan diri di sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT). Kahar berasa tertekan kerana bapanya, Dato Abu Yamin kerana meletakkan harapan tinggi. Setelah terlibat dalam satu insiden, Kahar secara tidak sengaja terjerumus dalam ‘Pilihanraya’, di mana calon-calon dari setiap rumah asrama KUDRAT bersaing untuk menjadi Kapla, ketua kepada High Council yang merupakan ‘pemerintah’ tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar. Namun, pencapaian baru Kahar ini menarik perhatian musuh dari pelbagai arah.