
Penganjur tiga konsert Taylor Swift di Vienna minggu ini telah mengumumkan pembatalan persembahan tersebut selepas pihak berkuasa mendedahkan penangkapan individu yang merancang serangan di Vienna.
Swift dijadualkan untuk membuat persembahan di Stadium Ernst Happel di ibu negara Austria pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu sebagai sebahagian daripada jelajahnya.
Penganjur acara, Barracuda Music dalam hantaran Instagram pada hari Rabu mengumumkan bahawa mereka terpaksa membatalkan ketiga-tiga pertunjukan yang dijadualkan atas faktor keselamatan.
Awal pagi Rabu, pihak berkuasa Austria mendedahkan bahawa mereka telah menahan dua suspek ekstremis, dengan salah seorang daripadanya dikatakan merancang serangan ke atas acara di kawasan Vienna, termasuk konsert yang akan datang.
Suspek utama yang berusia 19 tahun, ditahan di Ternitz, selatan Vienna manakala suspek kedua ditahan di ibu negara Austria tersebut.
Pengarah Keselamatan Awam di Kementerian Dalam Negeri Austria, Franz Ruf berkata, pihak berkuasa menyedari “tindakan persediaan” untuk kemungkinan serangan “dan juga bahawa wujudnya sasaran oleh pelaku berusia 19 tahun terhadap konsert Taylor Swift di Vienna,” lapor Agensi Akhbar Austria.
Ruf berkata, lelaki berusia 19 tahun itu telah mengangkat sumpah taat setia kepada kumpulan militan. Warga Austria tersebut juga dipercayai telah menjadi radikal melalui aktiviti di internet.

