
Seorang pembantu peribadi telah ditahan pada Rabu lepas kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian di rumah majikannya, seorang pelakon wanita, di Taman Cempaka, Ampang yang menyebabkan kerugian sekitar RM30,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Nazruel Ekram Abu Saare berkata wanita tersebut ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan kini direman selama empat hari sehingga 18 Ogos.
“Pada 26 Jun lepas, semasa pengadu (pelakon) berada di rumah, beliau telah menyedari rantai emas miliknya telah tiada dalam simpanan.
“Pengadu telah bertanya kepada pembantu peribadinya itu akan tetapi suspek menafikan telah mengambil rantai emas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan bahawa selepas pengadu membuat pemeriksaan lanjut, didapati dua gelang emas dan satu rantai emas milik anaknya juga hilang daripada beg tangannya.
“Pengadu mengesyaki suspek mencuri barang-barang tersebut berikutan pada bulan Mac lalu beliau juga pernah kehilangan wang tunai sebanyak RM10,000,” katanya.