
Universiti Taylor’s memperkenalkan dua filem pendek untuk memperingati kepelbagaian budaya Malaysia dan menyemai nilai-nilai positif dalam masyarakat melalui slogan ‘Boleh’.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Ben Foo berkata institusi tersebut menekankan penggunaan kata ‘Boleh’ untuk mempengaruhi generasi muda agar lebih positif.
Inisiatif ini bertujuan untuk menyatukan rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Kami mahu kempen ini dijalankan secara peribadi dengan satu perkataan kerana slogan ‘Boleh’ perlu dirasai, bukan hanya diungkapkan melalui kata-kata semata-mata,” katanya.
“Apabila perkataan ‘Boleh’ dimantapkan secara peribadi, kita boleh katakan ‘Boleh’ dengan lebih positif dan penuh semangat tetapi bukan dengan nada sinis.
“Bagi saya, kita boleh kawal perkataan yang keluar daripada mulut sendiri dan mampu mengubahnya menjadi lebih positif,” katanya.
Beliau mengulas selepas memperkenalkan dua filem bertajuk ‘Mana Boleh?’ yang ditayangkan pada 26 Ogos dan sebuah lagi filem ‘Boleh!’ pada 30 Ogos lalu di Kumpulan Karangkraf selain menjalin kerjasama dengan rakan media utama.
Dalam program yang sama, sebuah mural berskala besar dengan perkataan ‘Boleh’ direka menggunakan konsep ‘cat nombor’ yang menggambarkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli; Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin; dan Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin.
Sementara itu, Nik Justin berkata, inisiatif ini sangat berkesan dan akan diterima dengan baik dalam membangkitkan semangat serta pemahaman mengenai slogan ‘Boleh’ di kalangan generasi muda.
Beliau menambah bahawa suatu ketika dahulu, slogan ini sangat kuat dan menjadi satu ‘mantera’ kepada seluruh rakyat Malaysia namun ia telah disalahertikan.
“Konsep ini semakin lama semakin tenggelam menyebabkan generasi muda tidak faham dengan perkataan ‘Boleh’ itu.
“Saya ucapkan tahniah kepada Universiti Taylor’s kerana berjaya mencipta satu kempen yang memang efektif dan akan diterima,” tambahnya.