
Inisiatif untuk membawa penonton termasuk golongan belia, menonton filem genre patriotik dapat membantu menanamkan semangat cintakan negara, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Muhammad Kamil memberikan contoh filem “Takluk: Lahad Datu” yang menggambarkan detik tegang semasa operasi ketenteraan berikutan krisis pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 yang telah sedikit sebanyak memupuk semangat patriotik di kalangan penonton.
“Filem ini bukan sahaja mengangkat kisah benar yang menyentuh hati tetapi juga memperingati keberanian wira negara yang mempertahankan tanah air,” katanya ketika hadir pada tayangan filem berkenaan dianjurkan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Tambun dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun di sini pada Sabtu.
Filem tersebut menampilkan barisan pelakon seperti Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan, Riezman Khuzaimi, Josiah Hogan, Ayez Shaukat dan ramai lagi. Ditayangkan mulai 22 Ogos yang lalu, filem ini dijangka memberi impak mendalam kepada penonton melalui kisah keberanian dan semangat perjuangan wira negara.
Dalam program tersebut, hampir 400 penonton hadir di pawagam sebuah pusat beli-belah di sini untuk menonton filem berkenaan yang ditayangkan secara percuma.
Seorang penonton, Muhammad Jasni Abd Rahman, 30, berkata dia dan isterinya teruja menonton “Takluk: Lahad Datu” kerana sebelum ini mereka tidak berpeluang menontonnya di pawagam.
“Kami seronok dapat tengok filem berkenaan kerana isteri saya memang ada ajak tengok filem itu dan kebetulan hari ini dapat saksikan secara percuma.
“Tujuan datang ke program ini pun untuk luangkan masa bersama keluarga,” katanya.
Nur Rafidah Ismail, 28, pula berkata, dia berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada orang ramai menonton filem yang banyak memberi mesej berguna.
“Saya memang minat dengan filem berkisahkan ketenteraan dan kepolisan kerana ia memberi impak mendalam kepada penonton dengan keberanian dan semangat juang ditonjolkan oleh wira negara.
“Program tayangan percuma seperti ini wajar diadakan sekali gus menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan yang baru kita raikan 31 Ogos lepas,” katanya.